‘Jaga tingkah laku’


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta seluruh rakyat Kelantan yang menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dengan Terengganu, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini supaya menjaga tingkah laku demi imej Islamik Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah.
“Saya minta rakyat Kelantan sama ada peniaga, politik, orang bola, jaga (imej) keIslaman (Kelantan sebagai negeri) Serambi Makkah. “Ada cara untuk jaga imej Kelantan dengan tidak bersorak (menjaga tingkah laku daripada perbuatan tidak elok), tidak bawa mercun. Kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan untuk imej Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), “ katanya ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai ganjaran kepada pasukan Kelantan jika memenangi piala berkenaan, Nik Aziz secara berseloroh berkata: “Toksoh (tak perlu) manja sangatlah.” Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk mengisytiharkan cuti jika Kelantan memenangi Piala FA, Sabtu ini.
Bagaimanapun, katanya, pemain akan diberi ganjaran jika Kelantan memenangi Piala Malaysia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berharap perlawanan pada Sabtu ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini selain berharap perjalanan pergi dan balik pemain Kelantan serta penyokong sentiasa selamat dan dijauhkan daripada kejadian tidak diingini.

“Kita berharap pada tahun ini Kelantan dapat mencipta sejarah bermakna buat kali pertama kerana Kelantan sudah berjaya mendapatkan Piala Malaysia pada tahun lalu, Piala Sumbangsih, Piala Emas Raja-Raja dan kini hanya dua sasaran yang tinggal iaitu Piala FA dan menjuarai Liga Super. “Kami mendoakan keselamatan pemain dan penyokong Kelantan ketika perjalanan pergi dan balik di Bukit Jalil serta mengingatkan penyokong supaya memandu berhati-hati selain tidak perlu terburu-buru kerana nyawa lebih penting,” katanya ketika di temui pada program Pemulihan Tanah Terbiar dan Gotong-Royong Perdana di Kampung Betong di Salor, dekat sini, semalam.
Annuar menasihatkan penyokong menjaga disiplin sepanjang perlawanan serta memeriahkan stadium dengan semangat kesukanan yang tinggi bersama penyokong Terengganu.

“Saya berharap penyokong mengawal emosi, jangan terlalu mengikut perasaan dan boleh menerima keputusan perlawanan terbabit dan yang paling penting kita semua dapat memeriahkan stadium serta memberi sokongan kepada pemain.
“Pada masa ini, sokongan padu daripada penyokong amat diperlukan pemain kerana kehadiran mereka (penyokong) mampu menaikkan untuk menjulang kejayaan,” katanya.

1 comment:

Eja GaNu said...

orait..nnti sy singgah n follow kamo hihi