NoVeL TeRbArU

DIBIUS CINTA - Qash Irdina

Disini kami berkongsi bersama anda BAB 12 di dalam novel DIBIUS CINTA, Semoga bacaan Bab 12 ini dapat memberi penilaian awal kepada peminat novel untuk membeli novel-novel di pasaran. Selamat Membaca dan semoga terhibur.

BAB 12
...
Cazlin Amalina melangkah masuk ke dalam rumah arwah neneknya. Segala-galanya masih tersusun di tempat biasa. Tiada apa-apa yang berubah. Apa yang berubah adalah mereka yang disayangi telah pergi meninggalkannya. Mula-mula datuknya pergi meninggalkannya akibat sakit tua. Kemudian, nenek pula pergi kerana semput. Selepas itu, abangnya pula mengikut jejak langkah mereka pulang ke rahmatullah.

Adam Shafiq memegang bahu Cazlin Amalina. Seolah-olah memberikan kekuatan.

"Tak ada makanan dalam rumah ni. Abang tunggu petang sikit ya. Lin pergi pasar malam nanti. Lin nak beli sikit barang-barang basah dan sayur."

"Kita pergi sama-samalah." Adam Shafiq melemparkan senyum paling manis buat Cazlin Amalina.

Ya Allah, handsomenya dia. Dia ni saja aje buat senyum menggoda tu. Oh, lupa pula. Dia kan perasan diri dia comel. Hahaha... Cazlin Amalina tersenyum sendiri.

Adam Shafiq melihat-lihat setiap sudut rumah arwah nenek isterinya itu. Rumah tradisional yang masih kukuh dan cantik walaupun sudah lama tidak berpenghuni. Reka bentuknya ringkas yang mengandungi serambi di bahagian hadapan rumah ini, rumah ibu, selang dan rumah dapur menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Keseluruhan dinding rumah diperbuat daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh. Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding. Rumah ini juga mempunyai tebar layar bermotif bunga dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Terdapat tangga batu di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah pula dihias dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Adam Shafiq menghirup udara segar di kampung yang begitu mendamaikan jiwa. Suasana yang sangat tenang dan jauh dari hiruk pikuk kota raya Kuala Lumpur. Memang patut pun Cazlin Amalina ingin pulang ke kampung halamannya. Alangkah bagusnya jika dia dapat menetap di sini dan menghabiskan sisa hidupnya bersama-sama dengan Cazlin Amalina.

Lebih kurang jam 6.30 petang, mereka berdua memasuki pasar malam, Adam Shafiq memegang erat tangan Cazlin Amalina.

Cazlin Amalina mahu menarik tangannya. Namun, pegangan Adam Shafiq yang begitu kemas menghalangnya daripada berbuat begitu. Aik, dia ni... Dia ni betul-betul nak cari pasal dengan aku ni. Dia ingat ni kompleks beli-belah? Nak jalan-jalan kena pegang tangan. Biar aku tunjuk dia pasar malam Kampung Bukit Senduduk.

Mereka pun meneruskan perjalanan mereka di pasar malam tersebut. Cazlin Amalina mencuba sedaya upaya menyembunyikan gelaknya. Tidak tertahan hatinya melihat Adam Shafiq dihimpit manusia-manusia yang bersesak di pasar malam. Haa, padan muka. Ingat senang nak jalan kat pasar malam Bukit Senduduk? Pasar malam paling popular kat Daerah Melaka Tengah. Tempat untuk mendapatkan barang paling murah dan jarang apa yang dicari di pasar malam ini tidak dapat ditemui.

Tiba-tiba Adam Shafiq terlanggar seorang wanita yang berbadan agak gempal. Terlanggar pula di bahagian dada wanita tersebut. "Maafkan saya. Tak sengaja."

"Apa maaf-maaf? Dasar jantan gatal," ujar wanita tersebut lalu memijak kaki Adam Shafiq.

Cazlin Amalina cepat-cepat mendapatkan Adam Shafiq. "Maafkan saya, suami saya ni rabun dekat." Cazlin Amalina memohon maaf kepada wanita tersebut sambil memaut lengan Adam Shafiq.

Adam Shafiq memandang Cazlin Amalina. Rabun? What? Namun, melihat wajah bengis wanita tersebut, dia mengiakan sahaja. Cukuplah kakinya sahaja yang dipijak.

"Laa… yakah? Kesian. Muda-muda lagi dah rabun ya. Muka aje macam Aaron Aziz. Rabun rupanya. Pimpin tangan suami tu. Kesian dia. Maafkan mak cik ya, nak. Ingatkan dia ni nak menggatal tadi." Wanita itu pun berlalu.

Menggatal? Fuh, sabar ajelah. Muka aku ni memang ada chance pegang watak antagonis dalam filem Rosyam Nor agaknya. Cukuplah Cazlin Amalina sahaja yang melabelkan aku perogol. Kini, mukanya yang handsome ni sudah dapat cop muka menggatal, rengus Adam Shafiq tidak puas hati.

Cazlin Amalina memandang Adam Shafiq. Kemudian dia tersengih bagai kerang busuk.

Adam Shafiq pula hanya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Lin!" Seseorang memanggil nama Cazlin Amalina dengan kuat.

Cazlin Amalina dan Adam Shafiq mencari-cari pemilik suara tersebut.

"Nurul!"

"SEJAK Abang Hadi dah tak ada, kau tak pernah balik sini lagi. Memanglah dah tak ada siapa-siapa lagi kat sini, tapi aku kan ada?" Nurul mencubit pipi Cazlin Amalina sekuat-kuat hatinya. Geram sungguh dengan temannya yang seorang ini.

---------------------------------
SINOPSIS :

"Eh, kau ni gila ke apa? Dahlah kau langgar aku tadi. Lepas itu, kau hempuk pula aku dengan beg Bangla kau tu. Hah, sekaran...g kau panggil aku perogol pula."

Pertemuan pertama mencipta pengalaman memalukan apabila pemuda yang cuba membantunya diserang dengan beg Bangla miliknya. S...aat itu ingin sahaja dia berlari 1000 meter tanpa henti dan tak tahu mana nak sorokkan mukanya. Pertemuan demi pertemuan tercipta dengan sendirinya seolah-olah takdir sengaja mempertemukan dua insan tanpa perasaan cinta.

Tanpa disangka, takdir telah menyatukan mereka apabila Adam Syafiq dan Cazlin Amalina disatukan atas rencana tersembunyi. Mungkinkah ikatan yang dibina tanpa perasaan cinta mampu menggapai istilah happy ever after? Mampukah kedua-dua mereka menghindari bius-bius cinta yang mula menghampiri? Akan adakah badai yang melanda untuk menguji kesetiaan mereka?

Judul : Dibius Cinta
Penulis : Qash Irdina
Penerbit : Fajar Pakeer
Semanjung : RM 19.90
Sabah / Sarawak : RM 22.90

Lihat seterusnya..

No comments: