NoVeL ~ DoKtEr CinTa (bab 8)

Bab 8

MAZLIANA mengelap peluh yang menitik di dahinya. Ini versi
filem mana pulak aku kena jadi tiang tepi Mall ni. Jam Gucci hitam hadiah Kak Lin dipandang
lama. Nasib baik ada Kak Lin, kalau nak harapkan aku beli benda mahal macam ni, kirim salam aje la. Nampak sangat nak cari pasal budak dua orang ni. Janji Melayu betulah. 
Eh, kenapa pula janji Melayu? Ingat orang Melayu aje ke pandai mungkir janji? Jason anak Uncle Mick pun suka buat janji kosong ape. Salah betul fakta janji Melayu tu.

Ini kali kelapan belas nombor Mimi a.k.a dalang segala masalah didail. Semua masuk peti suara. Maaf panggilan anda tidak dapat dihubungi. Panas hati dah aku duduk terpacak dekat sini. Dari jauh kelihatan lambaian mesra satu Malaysia dari Syamin. Mazliana tersenyum sinis.

“Maaf Maz terlambat, kami ada meeting tergempar tadi. Lama tunggu?” Wajah Zikri tak bersalah.

Kura-kura dalam perahu, suka hati buat tak tahu.
Nak rasa makan kasut aku? bisik hati Mazliana sempat lagi buat pantun tiga kerat. Dia melontarkan senyuman yang masam-masam manis.

“Eh... tak apa. Lepas ni korang pulak yang kena gempar,” bisiknya lagi.

“Awak marah ke Maz?”

“Eh... tak apa. Saya tak kisah bos,” jawabnya bersahaja. Syamin menggaru kepalanya. Tahu sangat lenggong bahasa temannya itu. Matilah! Jelingan Mazliana meramalkan sesuatu yang buruk akan terjadi.

Lagi nak tanya aku dah panas hati duduk dekat sini. Ingat cantik sangat ke muka aku duk tayang dekat depan
orang ramai ni. Dahlah ada yang siap bagi duit syiling! Ingat ni mintak sedekah. Eiii... memang nak kena ajar budak dua orang ni. Kalau nak kenal siapa Mazliana Haji Nordin inilah masanya.

Nak rasa sangatkan lakonan ala-ala membalas dendam... one... role... action!!!

“Apa dosa Maz???” jerit Mazliana kuat tiba-tiba sambil meluru ke arah Zikri. Syamin dan Zikri terkejut mereka saling berpandangan.

Air mata mengalir deras, esakan mula terhasil. Dia terduduk di situ. Berkerut dahi Zikri matanya terus dihalakan ke wajah Syamin di sebelah. Apa dah jadi ni? Ada mata yang memandang. Ada juga yang berhenti melihat aksi spontan Mazliana. Orang ramai yang lalu di situ berhenti sambil memandang ke arah mereka bertiga.

“Sampai hati abang! Apa kurangnya Maz berbanding perempuan ni?” Hah... sudah! Dia dah mula dah. Wajah Syamin berona merah. Dia tahu niat sebenar Mazliana. Aduhhh. Matilah macam ni. Ada yang sudah berbisik-bisik.

“Eh... kenapa ni Maz?” Zikri cuak. Semua mata memandang ke arahnya.

“Sebab perempuan ni cantik abang pilih dia? Sebab dia ada harta? Abang sanggup tinggalkan Maz dan anak dalam kandungan ni? Apa salah kami bang?” Merah muka Zikri. Malu. Perlahan tali lehernya diungkai. Butang atas kemejanya dibuka. Panas. Peluh mula menitis di dahi.

Mazliana masih berwajah sedih. Dalam hati, hahaha... padan muka nak main drama sangat dengan Mazliana Haji Nordin. Memang pelakon betullah kau ni Maz!

“Apa sebenarnya yang berlaku ni, dik?” tanya seorang perempuan sebaya ibunya. Mazliana tersenyumMuncul dah pelakon tambahan. Tubuh wanita itu sengaja dipeluk menambahkan lagi keberkesanan lakonannya.

“Kak, apa salah saya sampai kawan baik saya sendiri bermadu kasih dengan suami yang saya sayang? Apa salah saya?”

Wanita itu memandang wajah Syamin dan Zikri dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Marah. Syamin tersenyum kelat. Sempat dia menangkap senyuman sinis Mazliana.

“Sabarlah dik jangan sedih. Mungkin adik bukan untuk lelaki macam ni. Jangan bazirkan air mata untuk perempuan perampas macam ni!” Hah... ambik kau sebijik. Dalam hatinya macam digeletek. Kelakar tengok muka Syamin dan Zikri dimarah pelakon tambahan. Bersemangat pulak mak cik ni.

“Okeylah mak cik, kami pergi dulu.”

Syamin menarik kuat tangan temannya. Gila betullah budak ni buat malu aku. Zikri mengejar langkah dua wanita itu dari belakang. Masih belum keluar dari lakonan palsu Mazliana. Masih terbayang wajah sedih Mazliana. Dia blur....

“Kau memang nak makan kasut saiz enam, kan?” Syamin mendengus. Marahlah konon. Geram dia mendengar ketawa kuat Mazliana.

“Marah ke?” tanya Mazliana sambil mengangkat sebelah keningnya.

“Taklah. Suka sangat!!!”

“Janji pukul berapa?” tanya Mazliana kembali.

Syamin terdiam. Alamak! Dia tersengih macam kerang busuk.

“Kau ingat kau cantik buat muka macam tu?” balas Maz geram. Dia mencubit pipi temannya kuat.

Sekali lagi Syamin tersengih. Zikri hanya berdiam diri. Tak sangka Mazliana seberani itu. Memang niatnya nak
angin aje dengan perempuan ini tapi melihatkan ketawa ceria tiba-tiba Si Mazliana ni tadi, dia membatalkan niatnya.

“Sorrylah bos. Saya ni panas sikit kalau bab-bab tunggu menunggu ni, memang keturunan saya ni tak dilahirkan untuk menunggu.” Zikri tersenyum.

“Ala... kita bukan sengaja, bakal calon suami kau yang tiba-tiba buat meeting.”

Terhenti gerakan tangan Mazliana. Hampir terkeluar air yang diminum. Calon suami? Hesy... tu hiperbola melampau tu. Kalau cikgu sastera aku tahu Si Syamin ni suka-suka guna perkataan mesti kena denda pusing padang bola. Bahasa kita budaya kita, kata cikgu akulah.

“Kami minta maaf kalau buat Maz tertunggu, saya tak sempat nak call tadi,” ucap Zikri dengan nada sedikit kesal.

“Itulah susahnya kalau kita semakin maju ni, teknologi secanggih mana pun tak berfaedah kalau tak digunakan.”

“Tapi gilalah kau Maz, gerun aku dengan mak cik tu tadi. Macam nak dicekiknya aku.”

“Yalah. Kau kan perampas suami orang.” Ketawanya kuat.

“Tak sangka awak seberani itu. Terkejut juga saya tadi tetiba awak melolong macam orang hilang pertimbangan.” Zikri menyampuk.

“Itulah yang dia dapat sebab suka sangat kawan dengan orang-orang dekat Tanjung Rambutan and Tampoi.”Giliran Mazliana pula kena. Syamin ketawa kecil.

“Kau ni macam tahu-tahu aku ni ramai bestfriend dari sana, kan? Termasuklah kau.”

“Betul-betul bak kata pepatah macam lembu dicucuk hidung,” celah Syamin.

“Betul sangatlah tu macam kau dicucuk hidung. Kalaulah Cikgu Salmah masa kita form five dengar kau punya peribahasa tu mesti dia menangis tiga hari tiga malam. Hesy... bahasa Melayu kau dapat apa, ek?”

Ketawa Zikri pecah tiba-tiba, memang Syamin ni bendul betullah. Suka hati mulut dia nak kata apa, janji dia faham walaupun orang sekeliling tak faham pun apa yang dia cakap.

“Sebenarnya bos secara tulus ikhlas lahir dari hati saya yang suci ni, saya tak berminat langsung dengan watak yang bos nak bagi tu. Tapi disebabkan paksaan anasir-anasir Si Mimi ni saya terpaksa. Tapi seperti kali keseratus satu saya cakap, segalanya hanya untuk malam itu saja.” Fuh... panjang lebar penerangan. Macam penerangan formula kimia yang aku tak pernah nak lulus. He he he....

“Tak apa Maz, saya faham. Saya berterima kasih sangat dengan bantuan awak.”

“So, apa yang perlu saya buat dengan watak tu?”

“Okey, semuanya bermula di sini....”

Bermulalah satu hikayat yang panjang lebar dari mulut Zikri. Matanya tepat memandang ke arah mata hitam bulat itu. Ada kejujuran di situ, wajah yang putih bersih kelihatan sentiasa berseri. Bibir merah melambangkan dia pengikut setia kempen Tak Nak Merokok.

Kalau dianalisis ikut teori sains memang Encik Zikri memiliki wajah yang lengkap pakej kekacakannya. Senyumannya saja dah boleh buat wanita terduduk. Nasib baik aku memang dah duduk. Mazliana terus mengukur wajah di depannya. Mengikut apa yang Syamin kata Encik Zikri ni mix blood gak, berdarah Cina. Emmm... patut ar hensem. Kan...? Kan...?

“Okey. Awak faham Mazliana?”

Mazliana masih memandang tepat wajah lelaki di hadapannya itu. Masih kaku.

“Mazliana?” panggil Zikri lagi apabila melihat mata itu masih tepat memandang ke arahnya.

“Hoi Maz!!!” Penampar Syamin hinggap di bahu temannya membuatkan Maz tersedar semula ke alam nyata.

Aduh!

“Kau faham tak?” tanya Syamin lagi. Berangan pula minah ni. Tak cover langsung! Kalau ya pun nak berangan pilihlah tempat yang logik sikit. Ini tengah restoran yang bingit dengan suara orang ramai ni pun boleh dilayan berangan tu.

“Hah? Faham... faham.” Eh, apa yang aku faham? Dia menggaru kepala yang tak gatal. Memang mangkuk tingkatlah kau ni Mazliana! Sempat mengutuk dirinya sendiri.

“Ini semua tentang Tengku Iskandar. Saya harap ini dapat membantu awak mengenai perwatakannya dengan lebih rapat.” Fail hitam itu bertukar tangan. Dahi Mazliana berkerut. Air liur ditelan perlahan. Mak aiiikk tebalnya. Macam aku rajin aje nak baca tebal-tebal macam ni.

“Perlu ke saya baca semua ni?”

“Saya nak malam tu adalah malam yang sempurna, Jadi untuk elakkan awak tersasul maka awak kenalah baca.”

Juling mata Mazliana memandang wajah lelaki di depannya. Skemalah mamat ni.

“Kalau tebal macam ni saya kena baca, semua tentang luar dalam Encik Iskandar??? Hesy... malaslah! Syamin kau baca untuk aku.” Fail itu ditolak ke arah Syamin.

“Eh... apa pula aku?” Ditolak semula fail itu.

“Nanti kalau kau dah habis baca kau present dekat aku okey. Okeylah bos, saya gerak dululah. Ada hal sikit ni.” Mazliana bangun meninggalkan Syamin dan Zikri yang terpinga-pinga.

Mazliana hanya mengangkat tangannya tanpa berpaling ke belakang. Ada ke suruh aku membaca. Dia tak tahu ke yang aku ni spesies mamalia yang fobia dengan membaca, kena pula baca benda tebal bertambah pening pulak baca pasal diri seseorang. Hesy... apekehal?

“Kan saya dah cakap tadi, Encik Zikri tak percaya.” Fail hitam tebal itu sudah dipegang.

“Ni siapa pula nak baca all about Tengku Iskandar ni?” tanya Syamin lagi.

“Siapa lagi, awaklah.” Zikri bangun. Not sepuluh ringgit diletak atas meja kemudian berlalu meninggalkan Syamin yang leka membelek fail biodata Tengku Iskandar.

“Hah... aku pulak yang kena. Encik Zikri, tunggu!” Syamin mengejar bosnya dari belakang.

MAZLIANA meletakkan kepala di riba Puan Maznah. Rambutnya diusap lembut. Inilah perkara paling best yang tidak dapat dilupakan.

“Anak mak ni dah besar rupanya.” Maz tersenyum mendengarnya.

“Tapikan Mak. Maz rasa macam tak nak jadi besar, kalau Maz kecik mesti hari-hari Maz dapat tidur atas riba mak, kan?”

“Dah besar macam ni pun boleh baring lagi atas riba. ” Kata-kata itu mengundang ketawa besar anak dan ibu itu.

“Sayang mak.”

“Mak pun sayang anak mak ni. Mak tak sabar nak tengok Maz duduk atas pelamin.”

“Emmm... jomlah kita pergi sekarang.”

“Ke mana?” tanya Puan Maznah bingung.

“La... kedai mak andamlah. Kan kata nak tengok

Maz duduk atas pelamin.” Bulat mata Puan Maznah mendengar lawak anaknya. Mazliana sudah ketawa melihat muka kelat maknya.

“Main-main, ek.”

“Laaa... mak ni suka terbalik code tau. Sepatutnya Kak Lin dengan Kak ida dulu laaa, takkan Maz pula nak langkah bendul.”

“Bukan apa, anak sayang mak ni manja sangat. Kak Lin dan Kak Ida tak macam Maz nak dua puluh empat jam berkepit bawak ketiak mak. Kalau apa-apa jadi dengan mak dan ayah macam mana? Itulah sebab mak nak Maz ada seseorang untuk bergantung.”

“Mak jangan risau ek. Kalau jodoh Maz dah sampai, mak la orang pertama yang akan tahu. Mak ni, tengok kakilah! Maz dah besarlah, lagipun ingat baju ke nak gantung-gantung? Lagi satukan, mak punya ketiak wangi...tu sebab Maz suka.” Ketawanya kuat.

“Hesy... budak ni.”

“Amboi manja ya budak busuk ni?” Azlin keluar dari dapur bersama mug berisi milo di tangan. Kak Lin nampak cute dengan tocang dua dan klip berwarna pink menarik depan rambutnya.

“Cemburulah tu!”

“Tak ada masa!” Azlin duduk di sofa sebelah Puan Maznah. Mazliana tersenyum manja, bahagia dikelilingi orang-orang tersayang.

“Lin dengar tadi ada yang nak kahwin ek mak?”

“Emmm... tapi tu la dia Si Johan tu lambat bertindak. Slow betul la mamat tu... kata maklah,” sampuk  Mazliana.

Puan Maznah menampar lembut bahu anaknya. Pandai menambah cerita pulak.

“Amboi... mengumpat akak tadi, ek?”

“Bukan mengumpat, mengenang....”

Pantas peha adik bongsunya dicubit kuat. Mazliana menjerit. Mak aik, sakitnya peha aku. Boleh lumpuh sistem endoktrin macam ni.

“Sakitlah... akak ni doktor tapi main cubit-cubit orang pulak! Apa hal?”

“Tu ubat untuk orang yang sengaja cari penyakit.”

Kata-kata Azlin mati di situ apabila melihat Haji Nordin muncul di pintu dengan senyuman. Jelas kepenatan. Sudah pukul sembilan malam baru ayahnya balik? Hesy...sibuk sangat ni, kalah doktor. Haji Nordin memberi salam perlahan lalu disambut oleh tiga beranak yang setia menantinya di ruang tamu.

“Lambat abang balik hari ni?” Ah, baru aku nak tanya dah mak take over dulu.

“Ada perbincangan sikit dengan budak-budak ni tadi, ada yang tak faham dengan apa yang abang ajar.”

“Hesy... apa yang susah sangat diorang nak faham tu, ayah? Kan ada masa perundingan kenapa tak datang masa tu?” Mazliana tak puas hati. Haji Nordin ni kalau dengan pelajar dia baik sesangat.

Rungutan anaknya dibalas dengan senyuman. Malas nak bagi jawapan yang entah ke berapa ratus, dah memang itu tugas dia sebagai pendidik terpaksalah dia berkorban. Anak-anaknya susah nak faham.

“Itulah ayah suruh Maz jadi cikgu Maz tak nak. Kalau sekarang Maz mengajar, tentu Maz faham keadaan ayah macam mana kan....
p/s: smbungan novel Dokter Cinta entry akan datang...xlarat lah u all pnjang sgt...
ZzZzZzz...layannn....wssalamm






8 comments:

Anonymous said...

bile nak sambung lagi ?
best kowt jalan cerita
^^ !

@N!Z said...

best ar citer nie... smbg ar agi..

Anonymous said...

kak cepat ckit smbg...da x saba ni...

Anonymous said...

bila nk smbung nya kak..x sbar dh nie...

Nur Syafika Zahari said...

best kot....
bile sambungan dia ...
x sabar ni...

Anonymous said...

cite nie mmg best..

Syafiyah Ali Sabri said...

bile nk smbg..huhu suke bce kat blog nie lgi..

Anonymous said...

smbg lha lg...x kn biar t'gntg jer...