NoVeL ~ DoKtEr CinTa (bab 7)


Bab 7

“MACAM MANA?” tanya
Zikri. Inginkan kepastian.
Wajah keruh Tengku Iskandar sudah menjawab segala soalannya.

“Hai... awek sikit punya banyak berbaris tunggu
kau, takkan seorang pun tak sangkut kut?”perli Zikri. Sengaja
membakar hati sahabatnya.

“Masalahnya semua yang tersangkut dekat aku,
semua spesies tak boleh bawa berunding.”

“Tina?”

“Dia mintak seratus lima puluh ribu.”

“Mak ai.. seratus lima puluh ribu? Dia ingat dia
cantik macam Erra Fazira ke nak mintak banyak macam tu?
Hesy... buang masa betul!”

Tengku Iskandar tersenyum pahit. Baru dia tahu
selama ini dirinya dikelilingi wanita yang tiada bezanya
dengan kaca. Tiada harga kalau pecah berderai. Nampak
cantik tapi...

“Yang lain?”

“Entahlah Zik, aku dah mati akal ni, mana boleh
main redah macam tu aje, kes ni melibatkan mama, aku
kalau boleh tak nak dia terluka.”

“Aku ada cadangan.” Dia membisikkan sesuatu pada
Tengku Iskandar.

Dahinya berkerut-kerut memikirkan cadangan gila
Zikri. Tengku Iskandar terdiam. Kejap dia duduk sekejap dia
bangun. Kalau terus macam ni memang alamatnya sampai
esok pun tak selesai. Wajah tua milik mak palsu Syamin
terlayar di mindanya.

“Apa kau fikir lagi ni?”

“Kau biar betul Zik, nanti kalau mama tahu kerja
kita ni, tak pasal-pasal masuk ICU.” Zikri ketawa kuat.

“Ala... takkanlah Mak Engku nak buat kau macam
tu, kau tukan anak kesayangan dia,” ujar Zikri tenang sambil
membelek majalah di tangannya.

Tengku Iskandar menggigit bibirnya. Geram. Matanya
merenung tajam lagak Zikri yang selamba. Macam tak ada
masalah. Aku macam nak pecah fikir masalah ni dia boleh
pulak senang-lenang baca majalah entah apa-apa tu. Tengku
Mariam tu bukan boleh dilawan cakapnya sesuka hati, silap
hari bulan mengamuk. Siapa yang susah nak pujuk? Aku
juga. Kalau nak harapkan Si Zikri ni menambahkan masalah
lagi adalah. Kenapalah mama beria-ia sangat nak dia memilih
calon isteri buat masa terdekat ni? Pelik. Kalau ikutkan umur
memang ar dia dah wajib mendirikan rumah tangga tapi
kalau nak ikutkan zaman sekarang masih banyak lagi masa,
baru nak masuk tiga puluh tahun bulan tujuh ni. Muda lagi.

“Kenapa mama paksa aku? Kenapa kau, dia buat
bodoh aje?” tanya Tengku Iskandar tak puas hati. Zikri

tersenyum lagi. Macam la muka hensem sangat senyum
macam tu, sindir Tengku Iskandar dalam hati.

“Kau kan dah wajib. Lagipun bukan muda lagi.”

“Amboi, cara kau cakap tu macamlah kau muda
dari aku! Kau jangan nak buat hilang ingatan yang umur kau
tu tua setahun dari aku, tahu tak?” Kini giliran Tengku
Iskandar pula tersenyum sinis.

“Ooo... ya ke? Lupa pula. Maklumlah jiwa muda.”

“Muda konon....” Tengku Iskandar kembali ke
mejanya. Kalau dilayan Zikri sampai esok pun kerjanya tak
siap.

“Habis apa keputusan kau?”

“Entah aku pun tak tahu Zik, tapi cara terbaik
sekarang ni aku ikut cadangan gila kaulah,” putus Tengku
Iskandar.

“Cadangan gila konon tapi ikut juga,” perli Zikri
sambil tersenyum.

“Tapi kau kena pastikan budak yang akan berlakon
jadi calon isteri aku tu senonoh sikit. Jangan kau cari yang
macam Syamin tu sudah.” Pesan Tengku Iskandar awal-awal.
Kalau tidak, naya aje!

Zikri terdiam sempat matanya memandang ke arah
pintu. Mana tahu kalau tiba-tiba Syamin muncul. Kemudian
matanya kembali kepada Tengku Iskandar. Diam. Akhirnya
kedengaran gelak ketawa kuat dari dua lelaki pujaan Malaya
itu.

TANGANNYA terhenti dari menulis sesuatu. Dia pantas
berpaling ke arah pintu bilik Tengku Iskandar yang tertutup
rapat. Apahal bos-bos aku tu gelak macam tak ingat dunia?
Bahaya ni, mesti mengumpat. Tak pun cerita pasal benda
bukan-bukan. Hesy.... Ya Allah selamatkanlah hati bos-bos
aku. Dia mengangkat tangan mendoakan sesuatu.

“Apa awak doakan tu Syamin?”

Tiba-tiba wujud satu suara di depannya. Pen yang
dipegangnya terpelanting entah ke mana.

“Opocot mak kamu berdoa untuk bos aku!!!”
Syamin menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Doa apa?” usik Zikri lagi.

“Doa untuk bos... eh bukan... doa kesyukuran. Eh
bukan... doa cepat dapat jodoh bos-bos.” Syamin menggaru
kepalanya lagi. Hah, dah datang penyakitnya. Zikri galak
ketawa sehingga hampir menitis air matanya.

“Apa ni Encik Zikri.” Syamin bangun dengan
perasaan tidak puas hati. Nasib baik bos, kalau orang lain dah
lama aku sekeh kepala dia.

“Awak ni kelakarlah Syamin, saya baru sergah
macam tu awak dah melatah macam tu sekali.”

“Penyakit keturunan, bos.”

“Apa awak doa tadi? Panjang aje saya tengok?”

“Tak ada apa- apa. Kawan saya kata dalam apa sahaja
yang kita buat kita kena sentiasa berdoa untuk diberi
perlindungan. Mana la tahu kut-kutlah ada yang mengumpat
kita waktu ni, tak adalah kita cepat terasa.”

Zikri tersenyum. Alamak, dia dengar ke aku dengan
Is mengumpat dia? Hah... ni Iskandarlah punya kerja. Wajah
Syamin dipandang lagi. Dia selesa dengan Syamin walaupun

otaknya gila-gila tapi boleh dibawa ke mana saja. Pandai
sesuaikan diri dengan keadaan.

“Saya ada hal nak bincang dengan awak ni.”

“Hal apa Encik Zikri? Nak kahwin ke?” Syamin
tersengih.

“Hesy... tu bab lain tapi ada bersangkutan jugalah.
Tapi bukan saya tapi bos besar kita tu!” Muncungnya
dihalakan ke arah bilik Tengku Iskandar yang tertutup rapat.

“Hah??? Tengku Iskandar nak kahwin?” tanya
Syamin separuh menjerit.

Biar betul??? Tak pernah pulak dia melihat bosnya
itu melayan mana-mana perempuan. Semuanya tahap kawan
biasa aje. Kalau lebih pun tak sampai nak kahwin kut. Malah
dengan dia sendiri hanya bercakap mengenai benda yang
penting saja. Betul ke apa yang dia dengar ni?

“Hesy... awak ni Syamin, cuba rendahkan sikit
volume suara tu. Nak bagi satu syarikat tahu ke?”

“Biar betul Encik Zikri ni? Jangan main-main benda
macam ni. Siapa perempuan malang tu?” Bulat mata Zikri
mendengar soalan yang lahir dari mulut pekerjanya.

“Opss sorry... siapa perempuan yang bertuah tu?”
Syamin menyedari keterlanjurannya terus membuat
pembetulan. Mulut tak ada insurans macam tulah.

“Awak pun kenal siapa dia dan hanya awak saja yang
boleh tolong.”

“Siapa? Saya kenal ke?” tanya Syamin tak sabar bila
nama dia dikaitkan. Tak akan bos minat dekat aku kut?
Impossible....

Anggukan Zikri menambahkan lagi unsur saspens.
Hesy... macam cerita Detective Conan pulak main saspens-

saspens ni. Siapa yang dia kenal? Budak syarikat ni ke?
Sempat dia bermonolog sendiri. Mengabaikan sekejap
makhluk yang berdiri tegak di depannya.

“Siapa Encik Zikri, Milah? Kak Yam? Dewi? Atau
jangan bagi jawapan Sofea perempuan gedik tu sudah.”
Semua nama dah disenaraikan tapi Zikri masih tetap
menggeleng kepala.

Syamin mulai bosan dan kemudian dia duduk
kembali ke kerusi yang tadi ditinggalkannya.

“Habis siapa?” tanyanya separuh geram. Sengaja
menyuarakan nada tidak puas hatinya.

“Entah, saya pun tak tahu nama dia tapi saya yakin
awak tahu.”

“Hesy... apa ni Encik Zikri main-main pulak! Cuba
cakap betul-betul siapakah gerangan yang dah mencuri hati
batu keluli bos kita tu?”

“Mak awak.” Jawapannya ringkas dan cukup tenang
tetapi kenyataan itu membuatkan Syamin berdiri tegak
semula tanpa mampu menarik dan menghembus nafas.

“Hah??? Mak saya? Tengku Iskandar dengan Encik
Zikri ni gila ke apa? Mak saya dekat kampung tu dah sebaya
dengan Tengku Mariam. Lagipun saya tak rela nak biarkan
Tengku jadi bapa tiri saya. Walaupun dia hensem tapi tak
semestinya mak saya jadi pilihan. Saya tak boleh terima
permintaan ni Encik Zikri, tolonglah!” Syamin bersuara
keras. Sampai hati mak buat Mimi macam ni. Sejak bila mak
kenal Tengku Iskandar ni? Tidakkkk!!!

“Apa awak merepek ni Syamin? Bukan mak awak
yang dekat kampung tu la.”

“Habis tu?”

“Mak awak yang datang ke pejabat hari tu. Pelakon
terbaik tu.” Zikri cuba membantu Syamin mengimbas
kembali peristiwa yang dimaksudkan.

“Hah... Mazliana,” ujar Syamin pendek.

“Mazliana ke nama dia? Emmm... sedap juga,” kata
Zikri sambil tersenyum.

“Maksud Encik Zikri, Mazliana?” tanya Syamin. Dia
masih bingung dengan permintaan bosnya itu.

“Yup... kawan awak yang datang menyamar jadi
mak awak tu.” Zikri tersenyum lagi. Jelas wajah terkejut
beruk Syamin.

“Bila mereka bercinta?” tanya Syamin lagi tidak

puas hati.

“Lepas ni.” Dia memberi isyarat kepada Syamin
supaya memperlahankan suara. Bimbang kalau ada mata-
mata FBI Tengku Mariam yang terdengar.

Dia tahu Mak Engku banyak pasang spy di dalam
syarikat untuk mengintip pergerakan dia dan Tengku
Iskandar. Hati ibu itulah yang membuatkan dia sentiasa
menyayangi Tengku Mariam lebih dari segalanya. Melebihi
kasih seorang ibu yang tak pernah dikenalinya.

“Apa maksud Encik Zikri ni?” Syamin keliru.
Suaranya separuh berbisik.

“Panjang ceritanya. Lepas ni awak masuk bilik saya.
Saya akan ceritakan dari A to Z.”

Zikri meninggalkan Syamin dalam keadaan
tertanya-tanya. Mazliana? Hesy... apa pulaklah plan bos kali
ni. Tapi kenapa Mazliana? Mungkin Tengku Iskandar jatuh
cinta pandang pertama kut. Eh... tapi tak mungkin. Bukan
senang nak tackle hati Si Maz tu. Keras macam konkrit

bangunan dua puluh empat tingkat. Bukan satu dua lelaki di
kampus dulu yang kecewa dengan Mazliana, malah Doktor
Amir lecturer Act and Designnya pun boleh tersangkut
dengan temannya itu. Buktinya setiap kali waktu Doktor
Amir pasti nama Mazliana akan meniti di bibirnya. Dalam
satu masa boleh katakan sepuluh kali nama Mazliana naik.
Tapi yang peliknya Mazliana buat muka tak bersalah bila tolak
lamaran yang datang. Mazliana... Mazliana.

LANGKAHNYA nampak sumbang, memang sumbang pun.
Walaupun pemegang tali pinggang hitam tapi tak bermakna
dia akan melibas kepala orang sesuka hati tanpa belas
kasihan. Dia memandang wajah sayu budak lelaki yang masih
memegang beg sandangnya. Aku baru nak bersuka hati jalan-
jalan cari makan, budak ni sesuka hati dia aje cilok beg aku
dari belakang. Nasib baik tak makan tendangan penjurunya,
kalau tak... mesti tidur hospital budak ni.

“Maafkan saya. Saya tak sengaja.”

“Mencuri kau kata tak sengaja? Ingat ini peraduan
gores dan menang ke?” Eh, ada kaitan ke? Hentam sajalah
labu.

“Saya orang susah kak, dah dua hari adik saya dekat
rumah tak makan.”

“Siapa nama kau?” tanya Mazliana lagi. Ada sedikit
keraguan dengan kata-kata budak lelaki di hadapannya itu.
Tapi dari cara meragut yang tak berapa profesional itu, dia
dapat meneka memang budak ni tak berpengalaman.

“Taufiq,” katanya takut-takut.

“Mengikut pengiraan aku yang tak berapa pandai
mengira ni, kau belum habis sekolah lagi, kan? Tak sekolah
ke? Ponteng?” Hah, soalan bertubi-tubi. Budak lelaki di
hadapannya hanya tunduk memandang lantai. Maklumlah
taktik orang bersalah memang macam tu.

“Saya dah habis sekolah,” jawabnya perlahan.
Matanya masih menunduk memandang ke arah jalan tar.

“Habis sekolah?” duganya lagi, sengaja provokasi
digunakan.

“Saya tak sekolah kak, dah lama berhenti belajar.”

“Kenapa?” Persoalan dalam hatinya masih belum

tamat.

“Mak tak mampu, lagi pun adik-adik lain nak

sekolah.”

Mazliana terdiam. Tersentuh pulak hati kecilnya.
Aduhhh... asal tiba-tiba touching pulak ni? Tiba-tiba masuk
cerita sedih, macam nak menangis pulak rasanya. Taufiq di
hadapannya itu diteliti dari atas ke bawah. Mata bundar di
hadapannya itu semakin mengecil, mungkin takut dianalisis
begitu sekali.

“Mazliana tersenyum. Dia menarik keluar telefon
bimbit buruknya. Nokia 3310 tu... siapa pakai lagi? Ewah...
bangga pulak! Mana ada insan zaman sekarang pakai telefon
macam ni lagi. Paling-paling teruk pun yang ada MMS. Terasa
diri serba kekurangan.

“Akak saya minta maaf. Tolong jangan panggil polis,
saya mintak maaf saya sujud kaki akak!”

“Siapa kata akak nak call polis? Akak nak buat
panggilan sekejap. Kau tunggu situ.” Nombor Syamin didail.
Apa lagi macam biasa tolong coverkan line sebab lambat.

Mazliana meraba poket seluarnya, lama dia terdiam
tapi matanya masih memandang ke arah Taufiq. Anak muda
yang dirasakan malang, kalau tak dibentuk dengan baik akan
sesat entah ke mana. Dua keping not lima puluh ringgit
dihulurkan. Taufiq terkejut. Wanita di depannya dipandang
tidak percaya.

“Apa ni kak?”

“Laaa... duitlah.” Aduh... lagi mau tanya.

“Tapi kenapa kak?” tanya Taufiq bingung.

“Tak apalah. Kira akak bagi upah dekat kau sebab
bagi akak senaman ringan hari ni. Bukan senang tahu tak
akak nak lari sejauh ni tapi disebabkan kau terambil beg akak
jadi terpaksalah buat senaman sikit.”

“Tapi...” Taufiq serba salah. Sekali lagi dia tunduk
kesal. Sungguh dia tidak pernah mencuri sebelum ini tetapi
kali ini dia terpaksa, adik-adiknya perlu makan. Mak dah dua
hari demam.

“Anggap saja akak belanja Taufiq makan.” Kepingan
wang kertas itu bertukar tangan. Akhirnya terselit juga
senyuman di wajah muram Taufiq.

“Kali ni akak lepaskan. Tapi ingat, walau susah
macam mana pun kita jangan rendahkan maruah kita dengan
kerja yang salah. Jangan sampai akak nampak lagi Taufiq
kena tangkap macam ni.” Itu satu nasihat, ugutan atau
amaran dia sendiri tak pasti.

“Terima kasih kak....”

“Mazliana Haji Nordin... panggil Kak Maz,” ujar
Mazliana memperkenalkan diri.

“Kak Maz memang baik. Taufiq minta maaf sebab
curi beg akak,” ujar Taufiq kesal.

“Emmm... tak apa. Lagipun bukan ada apa pun
dalam beg tu. Buat penat aje kalau nak ragut pun.” Mazliana
tersenyum. Memang beg sandangnya itu tiada barang yang
berharga. Cuma ada kunci rumah dan sebuah buku yang
berjudul Zikir Cinta. Paling mahal pun Nokia 3310
kesayangannya. Eh... mahal ke?

“Hebat akak lari tadi,” puji Taufiq lagi.

“Ah... baru kau tahu. Jangan menilai orang melalui
luaran.” Sekali lagi kata-kata nasihat dikeluarkan. Macam
ustazahlah pulak rasanya.

“Okeylah Taufiq, akak ada hal. Nanti kalau ada apa-
apa, call akak,” sambung Mazliana sambil menarik tangan
Taufiq dan menulis nombor telefonnya di tapak tangan
Taufiq.

“Terima kasih kak.” Ada nada sayu di hujung kata-
katanya. Sekali lagi Mazliana berpaling. Rasa simpatinya
tumpah.

“Jangan buat lagi ek.” Dia terus meninggalkan
Taufiq. Satu lagi peristiwa berlaku dalam skrip hidupnya hari
ini. Mazliana tersenyum.

“MANANYA kawan awak ni Syamin?” Zikri sudah gelisah,
panas hatinya terpaksa menunggu lama macam ni.

“Nantilah bos. Tadi dia call kata lambat sikit.”

“Ini bukan lambat sikit tapi lambat banyak. Awak
yang minum satu gelas pun dah sampai tiga gelas jadinya dek
menunggu dia yang tak muncul-muncul lagi ni,” ngomel
Zikri.

“Hai... Encik Zikri ni merungut nampak? Bukan
Encik Zikri ke yang suruh tambah tadi?” perli Syamin.

“Saya suruh tambah sebab awak yang bising nak

tambah.”

“Isy... kedekut punya bos,” bisik Syamin perlahan.

“Apa awak kata Syamin?”

“Eh... tak ada apa. Saya kata takut. Takut kalau Maz
buat hal.” Dia melihat jam di tangannya. Mana pulak minah
ni tadi kata pukul empat, ni dah pukul tujuh.

Mazliana melajukan langkahnya dari berjalan dan
berlari-lari anak. Dari jauh dia dapat melihat wajah resah
milik Mimi. Ni mesti kena marah sikit lagi, baik kau tadah
telinga Maz. Jam di tangannya dilihat sekali lagi. Ala... bukan
lewat sangat pun baru lambat tiga jam. Hah, tiga jam??? Mak
ai... lama ya aku lepak dengan Taufiq tadi. Aik? Siapa pula
mamat dekat Mimi tu? Takkan dia bawa pakwe sekali dalam
acara lepak santai ni?

“Hoi!” jerit Mazliana.

“Hoi... mak kau kapal terbang jatuh... lari bos kapal
terbang jatuh!” latah Si Syamin. Kepalanya digaru-garu tidak
gatal.

Mazliana ketawa kuat. Sengaja dia mengusik ratu
latah kampus, lama juga tak buat kerja jahat ni.

Memang sejak di kampus lagi Syamin terkenal
dengan latahnya sampai satu ketika dia melatah dalam bilik
kuliah ketika final exam. Semuanya gara-gara kerusi jatuh.
Apa lagi satu kelas keras perut ketawa tak berhenti. Cuma
sejak bertugas di MM Holding penyakitnya itu dapat dikawal.

“Kau ni nak makan kasut aku ke?” Sinis wajah
Syamin membuatkan Mazliana tersenyum.

Zikri dari tadi hanya mendiamkan diri. Wajah
wanita di depannya dipandang lama. Doktor? Eh... diakan
orangnya? Tapi dia ke doktor yang sama? Dia keliru. Wajah
putih bersih itu dipandang lagi. Tapi dulu wajahnya nampak
gelap sikit.

“Ehem... ehem.” Zikri berdehem. Syamin menepuk
dahinya, macam mana dia boleh lupa Encik Zikri yang duduk
di depannya.

“Eh... Encik Zikri kenalkan ini Mazliana Haji
Nordin, dialah yang kita tunggu. Maz, ini bos aku Encik Zikri.
Dia yang nak jumpa dengan kau.”

“Bos? Aku ingat kekasih gelap kau tadi.” Dia
berpaling ke arah lelaki yang sedari tadi meneliti wajahnya.
Hesy... mamat ni bilang jerawat aku ke apa?

Dahi Mazliana berkerut, hairan. Nak jumpa aku
kenapa pulak? Senyuman yang tadinya mekar mati tiba-tiba.
Eh? Ala.. mamat ni ke? Mazliana berpaling semula ke arah
Syamin. Dia tahu rahsianya akan bocor sebentar lagi.

“Eh... bukan awak doktor yang...”

“Eh... bukan! Bukan! Encik salah orang kut.”

“Tak mungkin saya salah orang. Saya pasti awaklah
orangnya.”

Senyuman Mazliana membuatkan dia bertambah
yakin yang ada di depannya adalah orang yang sama
mengurut kaki Tengku Iskandar dulu. Juga orang yang sama
bersama Mak Engku. Tapi diakah orang yang sama menyamar
jadi mak Syamin?

“Siapa sebenarnya awak?” Soalan cepumas pertama
lahir dari mamat di depannya.

“Hai... apa ni Syamin? Aku duduk pun tak sempat
lagi, bos kau dah terjah aku. Ingat aku artis ke nak terjah-
terjah ni?” ujar Mazliana dengan nada yang agak sinis pada
Syamin walaupun sebenarnya kata-kata itu ditujukan kepada
Zikri.

Zikri serba salah. Merah padam mukanya ditegur
sebegitu. Kemudian pantas dia menarik kerusi di sebelahnya
mempelawa puteri entah datang dari mana untuk duduk.
Wanita itu nampak santai dengan seluar jeans biru dan
T-shirt saiz XL warna biru gelap lengan panjang. Baju abang
dia ke? Mazliana duduk di sebelah Syamin. Sikap romantik
Zikri sia-sia. Syamin hanya tersenyum melihat wajah kantoi
bosnya.

“Saya Mazliana Haji Nordin.” Sekali lagi Maz
memperkenalkan namanya.

“Zikri.”

“Bos aku ni ada sesuatu nak minta tolong dari kau.”

“Aik? Kesian betul bos. Saya ni bukannya kaya
sangat sampai bos nak mintak tolong. Duit pun ada sepuluh
hengget aje dalam poket,” terang Mazliana walaupun tidak
diminta untuk diterangkan. Hesy... yang Si Mimi ni pun satu,
ingat aku ni pusat kebajikan masyarakat ke nak mintak
tolong segala ni? Nak kena budak ni!!!

“Saya nak tawarkan awak jadi pelakon.”

“Hah??? Pelakon watak apa?” tanya Mazliana tak
sabar, dia membetulkan gaya duduknya. Terus menunjukkan
minat.

“Heroin.”

“Hah??? Biar betul bos? Saya memang minat
berlakon tapi tak pernah bermimpi pun nak terjun ke dunia
glamor tu. Lagipun, saya ni manalah ada rupa nak harapkan

bakat yang tak seberapa, setakat tipu Si Syamin ni bolehlah.”

“Tapi saya rasa awak berbakat.”

“Itu bos rasa, saya tak rasa apa-apa pun.” Ketawanya

lagi.

Memang banyak berita kelakar dalam skrip hidup
Mazliana hari ini. Lama Mazliana memandang wajah maco di
hadapannya. Tiba-tiba dapat tawaran berlakon ni kenapa?
Angin tak ada ribut jauh sekali tiba-tiba hujan. Sepanjang
sejarah keturunan aku tak ada lagi yang jadi pelakon. Buatnya
Haji Nordin tahu? Hesy... aku boleh kena kurung dekat
setahun dalam bilik.

“Tak bolehlah bos. Lagipun kalaulah Haji Nordin
tahu saya jadi pelakon boleh putus kepala. Dia bukan suka
dunia artis ni. Terdedah sana terbuka sini,” jelas Mazliana
panjang lebar. Gerun apabila terbayang wajah ayahnya.

Walaupun Haji Nordin seorang ayah yang terbaik
daripada ayah-ayah terbaik dekat dunia ni. Tapi kalau kena
mengamuk sekali terkantoi juga nanti. Tak boleh nak bela
diri walaupun buat rayuan dekat mahkamah tinggi.

“Tapi dunia lakonan awak ni tak glamor pun, kita
tak akan filemkan lakonan awak.”

Mazliana menggaru kepala sekali lagi, persis terasa
kebodohan dengan kata-kata yang masuk ke telinganya.
Hesy... ini lawak gila-gila ke versi ujang bos Si Syamin ni?

“Ini nak buat lawak tak kelakar ke? ” tanyanya yang
jelas kebodohan. Dipandang wajah Syamin yang tersenyum
sedangkan dari tadi asyik membisu.

“Kau berlakon dalam realiti sayang.”

“Maksudnya apa sebenarnya ni? Dunia realiti ala-ala
Pilih Kasih dengan Akademi Fantasia?”

“Ala-ala versi kita sendiri.”

“Ya Allah Mimi, mana kau dapat bos kau ni? Cakap
berbelit-belit aku dah pening ni. Sikit lagi kalau aku pengsan,
aku tahu kau yang jadi penyebabnya.” Mazliana menyalahkan
Syamin.

“Apa pulak aku?” bidas Syamin tidak puas hati.

“Habis yang kau kenalkan aku dengan bos kau ni
nak buat apa? Boleh mental aku dekat sini tahu tak? Aku
belum lagi nak join kawan-kawan kau yang dekat Tanjung
Rambutan tu.”

Ketawa Zikri kedengaran kuat mematikan kata-kata
Mazliana. Eh... aku buat lawak ke dia suka sampai macam tu?

“Macam ni....”

Zikri menceritakan dari A to Z kepada Mazliana
termasuklah kisah Tengku Iskandar yang merangkap bos
kepada kawan baiknya. Permintaan ini juga merupakan satu
keinginan dia sendiri untuk membantu seorang kawan.
Hasrat Mak Engku juga diceritakan.

“Gila!!!”

Mazliana bangun dari duduknya. Rupanya itulah
tawaran yang dimaksudkan. Suka-suki hati dia nak aku jadi
calon isteri. Ingat aku ni apa? marah Mazliana dalam hati
namun dia bijak mengawal perasaan. Untuk apa dia melatah,
lagi pun itukan baru tawaran bukan paksaan pun. Boleh
jawab ya atau tak. Ada talian hayat lagi. Cool Maz, cool.

“Kami akan bagi berapa saja awak nak, tapi
berpatutanlah.”

“Tak nak!”

“Bolehlah Mazliana,” rayu Zikri

“Tak boleh!”

“Bolehlah....”

“Eiii... bos ni gila ke apa? Ingat ini cerita kartun ke?
Saya tak boleh buat.”

“Saya yakin awak boleh buat.”

“Saya tak yakin.”

“Awak boleh.”

“Tak boleh!!!” jerit Mazliana kuat. Meja di depannya
ditepuk sekali sambil mata terpejam.

Tiba-tiba suasana sunyi. Tiada satu suara. Perlahan
matanya dibuka semula. Semua mata memandang ke
arahnya. Termasuklah mamak yang menebar roti canai. Eh...
alamak tempat awam ni! Aduh... malu! Mana nak sorok muka
ni? Dia tersenyum lalu duduk kembali di kerusinya.

Wajah mengharap Zikri dan Syamin dijeling dengan
ekor mata.

“Aku bukan nak kenakan kau Maz tapi tak ada
orang yang lebih layak selain kau.” Syamin cuba memujuk
temannya. Kesian pula dia melihat bosnya yang terlampau
mengharap itu.

“Kau ni kawan aku, kan.” Suaranya diperlahankan,
bimbang kalau-kalau jadi perhatian seperti tadi.

“Tengku Iskandar tu baik orangnya. Lagipun bukan
kau kena berlakon lama pun, cuma malam tu aje.”

Dua wajah di depannya dipandang lama. Hesy... ni
yang aku lemah ni. Buat muka kesian pulak dua makhluk ni.
Mazliana meneliti jam tangannya, konon-konon membiarkan
waktu terus menjawab persoalan yang bermain di minda dua
insan di depannya itu. Kalau nak difikirkan, tak adalah payah
sangat watak itu nak dibawa. Lagipun malam tu aje. Hesy...
kacang goreng aje tu.

“Kau ingat muka kau cantik ke buat macam tu?”

Syamin tersenyum. Kalau ayat itu yang lahir dari
mulut Mazliana, mesti ada harapan cerah.

“Cantiklah juga.”

“Okeylah aku setuju, itu pun bukan sebab duit tapi
atas rasa kesian saya pada muka minah ni dan muka bos yang
tak berapa hensem ni.”

Zikri tersenyum, tak hensem dia kata aku. Tapi tak
apa, janji dia sudah mendapatkan pelakon terbaik untuk misi
berat malam tu. Sekali lagi wajah itu dipandang, comel pula
budak ni, bisik hati kecilnya.

“Terima kasih, saya tahu awak tak akan kecewakan
saya,” ujar Zikri yakin. Mazliana mencebik, poyo aje ayat.

“Terima kasih bukan kenyang pun bos. Kalau kena
milo ais dengan roti canai ni best juga.”

Syamin menggeleng, dia tahu niat temannya itu.
Habislah bos aku lepas ni kena dengan Maz.

“Hah. Eh... orderlah, saya bayar.”

“Yalah, takkan saya pulak yang bayar.”

Zikri terkedu. Amboi... boleh tahan juga dia ni.

Syamin hanya tersenyum. Mazliana ni agak-
agaklah. Zikri tersenyum. Satu masalah dah selesai, matanya
menilai kembali wajah milik wanita di depannya. Macam
dialah tapi.... Kenangan di klinik terimbau kembali. Dia ke????????


p/s: smbungan novel Dokter Cinta entry akan datang...xlarat lah u all pnjang sgt...
ZzZzZzz...layannn....wssalamm

1 comment:

Anonymous said...

Citer ni best lah....