NoVeL ~ DoKtEr CinTa (bab 1-3)


Bab 1

MAZLIANA duduk santai di
bangku empuk milik Azlin.
Rutin hariannya selepas
mendapat segulung ijazah, ijazah ya bukan Hamzah ek,
adalah duduk lepak menghabiskan masa yang memang untuk
dibuang. Memang bukan cerita rekaan tapi kenyataan sampai
sekarang lebih sepuluh temu duga tapi tiga yang lekat dan
yang lekat tu tak kena langsung dengan jiwa. Kononnyalah.

“Maz nak duduk sini ke? Tak nak ikut akak?” Azlin
sudah sedia berdiri di depan pintu.

“Malaslah, lagipun Kak Ani ada depan tu.”

“Okey, akak tak lama dalam dua puluh minit aje,”
janji Azlin.

“Emmm... iya ke dua puluh minit? Kalau dah jumpa
buah hati dua puluh jam pun tak sedar.” Mazliana ketawa
kuat.

Doktor Azlin mencebik. Jelas sangat ketawa yang
dibuat-buat, bukan dia tak tahu macam mana hubungan
Mazliana dengan Johan.

“Orang suruh cari kekasih tak nak, lepas tu jealous

“Eiii... pleaselah ek nak cemburu-cemburu segala
ni tak ada dalam kamus hidup Mazliana Haji Nordin tau!”

Doktor Azlin menjelir lidah ke arah adik
kesayangannya. Dia keluar meninggalkan klinik. Dia sudah
lewat. Muka monyok Johan terbayang di kotak fikiran.
Bertambah laju kakinya melangkah.

BOSAN. Mazliana memandang sekeliling, apa yang ada di
atas meja semuanya tidak menarik perhatian. Dia terpandang
name tag yang terletak cantik di jubah putih kakaknya.
Doktor Mazliana, ewah... sempat lagi berangan. Tanpa sedar
jubah itu sudah tersarung di tubuhnya. Cantik!!! Eiii... boleh
jadi doktor aku ni.

“Ya sakit apa? Boleh saya tolong? Okey, awak boleh
ambil ubat di luar.” Mazliana berdialog sendiri. Satu lagi
penyakit keturunannya iaitu kuat berangan. Makanlah pil
atau herba atau akar kayu tujuh hutan sekali pun penyakit ni
tak akan boleh sembuh.

Dia tersenyum, gerak geri Doktor Azlin dilakonkan.
Dia kembali duduk di kerusi yang ditinggalkan tadi. Novel
Suratan Kasih dibuka semula, minatnya pada bidang
kesenian. Cakap saja apa yang ada kaitan dengan seni
semuanya dia minat. Masih terdengar bebelan Haji Nordin
dan Puan Maznah sampai ke hari ini. Tapi dia tahu walau
setinggi mana pun marah mak dan ayah, di hati mereka tetap
ada dia. Ewahhh... bak kata orang dalam hati ada taman.

“Doktor, doktor! Tolong kawan saya ni!” Tiba-tiba
 dua orang pemuda merempuh masuk ke dalam bilik. Habis
terpelanting novelnya entah ke mana. Mazliana mengurut
dada. Eiii... bagilah salam dulu kalau nak minta tolong pun.
Eh... ada ke orang minta tolong bagi salam?

Dua orang lelaki berbadan tegap sudah berdiri di
depannya, seorang sedang mengerang kesakitan. Mungkin
sakit, laaa... dah nama pun dalam klinik takkan dia datang
nak order teh O ais pulak. Eh? Nak buat apa ni???

“Ermmm... kenapa ni?” Mazliana bertanya bodoh.
Dia menggaru kepalanya, melihat lelaki itu sedang
mengerang kesakitan. Bukan perlahan tapi macam nak pecah
gegendang telinga. Wajah garang lelaki itu memang
menakutkan.

“Dia jatuh masa game tadi, tak boleh nak bangun.”

Hanya pemuda yang masih berjersi bola itu
menjawab. Seorang lagi masih mengerang kesakitan.
Mazliana panik, dia mendekati lelaki yang sudah duduk di
kerusi roda. Sempat memandang sekilas wajah berkerut itu.

“Dekat mana sakit ni?” Mazliana cuba berlembut.

“Kakilah, tak akan kepala! Aduh!!!” Lelaki itu

Amboi! Sakit pun kurang ajar lagi, bisik Mazliana

“Apa doktor?” tanya lelaki itu. Wajahnya berkerut
menahan sakit. Sakit sangat ke? Tak ada darah pun, hesy... ini
mesti kes manjalah ni. Macam ayam, bertelur sebiji tapi
sampai satu kampung dia nak inform.

“Hah! Tak ada, macam ni sebenarnya...” Mazliana
cuba berterus terang. Tapi gagal.

Lelaki yang duduk di kerusi roda menjerit kuat.
Terangkat bahu Mazliana kerana terkejut, Mazliana menggigit
bibir. Dia bertambah kalut.

Takkan dia nak cucuk punggung lelaki ini dengan
ubat penenang kut? Hesy, mana boleh sakit kaki aje lagipun
kecederaan tak serius sangat. Habis tu nak buat apa? Matanya
sempat meninjau ke arah pintu, mana tahu kalau Kak Lin
dah balik.

“Doktor, kenapa? Kaki dia ni patah ke???” Suara itu
kedengaran bimbang.

Mazliana sekali lagi menggaru kepalanya,

“Hah??? Entah....” Cuba untuk menjelaskan
keadaanya sebenar tapi usahanya sekali lagi gagal.

“Entah? Maksud doktor?” Zikri bertanya hairan.
Doktor di hadapannya kelihatan pelik. Dari tadi dia hanya
berdiri dan melihat keadaan Tengku Iskandar dari jauh.

“Eh, tak! Maksudnya, mana saya tahu, sebab saya
tak periksa lagi.” Sekali lagi Mazliana mengutuk dirinya
kerana menipu. Tapi jelingan pemuda di sebelahnya betul-
betul membuatkan dia terperangkap.

“Doktor tengoklah cepat!” Sergahan pemuda yang
mengerang sakit itu sekali lagi membuatkan jantungnya
seakan mahu gugur. Eiii... suka menjerit betul mamat ni.
Keturunan Tarzan ke apa? Sempat matanya meneliti wajah
kesakitan di depannya, nasib baik hensem, bolehlah cover
perangai buruk tu.

“Encik, boleh tak jangan memekik macam tu. Kalau
encik beristighfar banyak-banyak tak adalah sakit sangat,
kalau encik terus menjerit macam tu bukan encik yang mati
nanti silap hari bulan saya yang kena serangan jantung!”
marah Mazliana geram. Tengku Iskandar terkedu.

Zikri pula tersenyum mendengar kata-kata doktor
muda itu. Dalam hatinya mengekek gelak melihat wajah kelat
Tengku Iskandar. Wajah garang Tengku Iskandar semakin
hilang. Tak sangka pulak CEO MM Holding kena tengking
hari ni.

“Sakitlah doktor!” Sekali lagi pemuda yang bernama
Tengku Iskandar itu bersuara tapi tidak sekuat tadi.

“Sakit pun anugerah juga, saya tahulah encik sakit
tapi janganlah menjerit macam perempuan.” Mazliana
berkata selamba. Pantas dia tunduk melihat kaki lelaki itu
yang sudah membengkak.

Ala sikit aje, menjerit macam nak mati, Mazliana
bermonolog sendiri. Wajah lelaki itu dipandang sekali imbas.
Dia tersenyum lagi, kali ini dia jumpa penyelesaian. Bijak
betul Mazliana Haji Nordin, sejuk perut mak melahirkan.

Tengku Iskandar meneliti wajah yang tersembunyi
di sebalik juntaian rambut yang menutup separuh dari
wajahnya. Baju kurung putih berbunga merah berselindung
di balik jubah putih yang tersarung di tubuh langsingnya.
Cantik tapi mulut boleh tahan pedas. AZLIN. Sempat dia
membaca tanda nama yang terlekat di jubah.

“Emmm... tak ada apa-apa kaki awak ni, cuma
terseliuh sikit aje.”

“Sikit doktor kata? Tapi kenapa sakit sangat?” Suara
lelaki itu tinggi mencakar langit. Mak ai... garangnya spesies
harimau ke apa? Terasa macam nak tutup aje telinga.

“Eh... saya tahulah. Saya doktor ke awak doktor?”
Giliran Mazliana mengaum. Kalau kau harimau, hah aku ni
keturunan singa!

Tengku Iskandar menjeling tajam kepada Zikri yang
tergelak kecil. Semua salah sahabatnya itu, sibuk ajak main
bola. Padahal dia sendiri tahu yang Tengku Iskandar Tengku
Mazlan ni tak akan pernah mengotorkan kakinya. Baginya
permainan bola sepak adalah permainan yang kurang bijak.
Satu bola berebut ramai-ramai. Teringat rayuan sahabatnya
itu beberapa hari lalu.

“Is tolonglah aku... team aku tak cukup kaki ni.”

“Ohhh no, no.... Kau dah lama kenal aku, kan?
Jawapan aku TIDAK.”

“Ala... aku tahu kau pandai main.”

“Zik, kenapalah kau nak main permainan bodoh tu,
kalau kau nak sangat bola tu aku boleh belikan. Berapa orang
team kau? Satu sorang aku bagi bola tak payah berebut.”

Rayuan Zikri masih terdengar-dengar di hujung
telinga. Seribu alasan yang diberi beribu-ribu ayat memujuk
keluar. Entah atas dasar apa dia menerima tawaran yang
diberikan. Akhirnya inilah yang dia dapat, sakit satu badan.
Namun hakikatnya memang permintaan sahabat merangkap
saudaranya itu tak pernah diabaikan.

“Jadi macam mana doktor?” Suara Zikri, membawa
kembali Tengku Iskandar ke dalam bilik klinik entah apa-apa
ni. Matanya kembali kepada wanita yang masih tunduk
membelek kakinya.

“Ini urut sikit ni okeylah,” cadang doktor muda
sekali pakej senyuman manisnya.

“Urut???” Mata dua lelaki itu berpandangan. Ada
sesuatu yang meragukan. Zikri menggaru kepalanya. Rasanya
tadi dia ke klinik, bukan pusat urut. Aduh!!!

Mazliana tunduk melihat kaki lelaki itu. Dia
mengaplikasikan kemahiran mengurut turun temurun arwah
neneknya. Tengku Iskandar menjerit kecil setiap kali jari itu
menyentuh kakinya. Zikri pula hanya menjadi pemerhati
setia. Leka melihat doktor muda itu. Matanya jatuh ke wajah
bersih milik Mazliana. Cantik. Dia memuji dalam diam. Tiba-
tiba matanya beralih pada Tengku Iskandar, dia tersenyum
rupanya Tengku Iskandar juga melakukan perkara yang
sama.

“Okey.” Suara itu membuatkan mata Zikri dan
Tengku Iskandar terarah pada wajah Mazliana.

“Awak boleh ambil ubat sejam dari sekarang,”
sambung doktor muda yang memakai name tag Azlin itu
memberi arahan.

“Kenapa sejam doktor? Lamanya?” Zikri bertanya

Mazliana memikir ayat yang sesuai. Matanya
melilau mencari idea. Tu la menipu lagi, kan dah susah, bisik
hatinya. Matanya kembali kepada dua lelaki yang asyik
memandangnya. Dia tersenyum lagi.

“Sebab klinik saya dah kehabisan ubat, so lagi sejam
awak datang balik. Okey awak berdua bolehlah keluar.” Satu
senyuman kecil dilemparkan.

Sebaik sahaja bayang dua pemuda itu tidak
kelihatan, Mazliana melepaskan keluhan berat. Dia memikir
kembali pembohongan kecil yang dibuat. Hesy, kerja gila.
Nasib baik terseliuh buatnya sakit jantung. Tak pasal-pasal!
Pantas dia membuka jubah putih yang dipakai. Tak mahu
akan ada salah faham lagi selepas ini. Mazliana melangkah
keluar dari bilik menuju ke kaunter pendaftaran.

“Kak Ani, kenapa benarkan pesakit tu masuk?”

“Hah? Kenapa pulak?” Dahi wanita berusia awal
tiga puluhan itu berkerut.

“Kak Lin tak ada dalam bilik, Kak Ani tak nampak
ke dia keluar tadi?”

“La... akak tak tahu pulak Doktor Lin tak ada, habis
macam mana pula mamat hensem tu tak kata apa-apa
pulak?”

Mazliana mencebik, mamat hensem ke? Hesy, tak
ada maknanya hensem, gabra semacam. Tak tahu langsung
erti kesabaran.

“He he he... sebab Maz yang jadi doktor.” Keningnya
dijongket-jongketkan beberapa kali. Senyuman nakal muncul
di wajah.

“Ya Allah budak ni, biar betul?”

“Betullah, Doktor Cinta.” Mazliana tergelak besar.

Kak Ani hanya mampu menggelengkan kepala. Dia
lebih senang apabila bersama Mazliana berbanding Azlin.
Azlin seorang yang tegas tapi adiknya seorang gadis yang
periang dan sentiasa tersenyum. Kadangkala ada saja benda
yang dia buat membuatkan orang ketawa.

“SEMUA kau punya pasal.” Tengku Iskandar memandang wajah
selamba Zikri. BMW hitam bergerak perlahan meninggalkan
klinik.

“Bukan aku yang buat kau jadi macam tu, biasalah
dalam permainan bola sepak kalau tak jatuh bukan mainlah
namanya, kan?” Wajah berkerut Tengku Iskandar dikerling
sekilas di sebalik cermin mata hitam.

Bukan sehari dua dia kenal Tengku Iskandar Tengku
Mazlan, tapi sejak kecil lagi. Sikap panas baran sahabatnya itu
tak pernah surut. Lagi semakin bertambah dari berkurang
ada la.

“Doktor tu satu, suka hati mulut dia aje nak
bercakap.” Tengku Iskandar melihat kakinya. Sakitnya sudah
berkurang. Cuma bengkaknya sudah kelihatan.

“Ala... aku tengok kau pun syok tadi kena urut
dengan dia.”

“Kata aku. Kau pun apa kurangnya, mata macam
nak terkeluar pandang muka dia.” Gelak mereka kedengaran.
Masing-masing tidak lupa kenangan bersama doktor muda
itu.

PERISTIWA di klinik masih terbayang-bayang. Mazliana
menggaru kepalanya beberapa kali. Puas juga dia dimarahi
Azlin. Tapi dia yakin marah Azlin kepadanya tidak akan lama.
Dia cukup faham dengan perangai kakaknya itu.

“Hai... jauh anak mak ni mengelamun.” Puan
Maznah duduk di sebelah anaknya.

“Emmm... tak jauh mana pun mak. Sekarang ni
minyak mahal, tak boleh jauh-jauh sangat,” usik Mazliana.

“Hesy, macam tu pulak, main-main ek.” Pipi gebu
anaknya dicubit perlahan.

“Kenapa muka kakak tu semacam aje mak tengok?”
sambungnya lagi.

“Entahlah mak, gaduh dengan Si Johan tu kut,”
jawab Mazliana mengelak.

Tangannya kembali menari di atas kanvas. Satu per
satu warna dicalit. Cuba menyembunyikan masalah sebenar.

Takkan nak bagi tahu sebab aku muka kakak masam semacam
aje kut. Hesy, kantoi ar nanti.

“Amboi, sedapnya bahasa anak mak ni!” Puan
Maznah menampar lembut bahu anak manjanya itu. Lukisan
yang terlakar di depan matanya dipandang. Cantik! Memang
anaknya itu sejak kecil lagi sudah berbakat.

“Anak mak lukis apa ni?”

“Emmm... perasaan.” Mazliana tersenyum dengan
jawapan itu. Itulah tema hasilan terbarunya itu.

“Perasaan???” tanya Puan Maznah tidak faham.

“Emmm... lukisan yang menggambarkan perasaan
kita manusia yang tak dapat diluahkan, tapi calitan warna ni
boleh menerangkan segala-galanya.”

Berkerut dahinya mendengar penerangan jelas dari
mulut anaknya itu.

“Tak fahamlah tu....” Mazliana bersuara lagi. Melihat
wajah maknya menunjukkan wanita itu tidak memahami.
Puan Maznah tersenyum, anaknya terlebih dahulu membaca
apa yang bermain di mindanya.

“Manalah mak tahu, kalau cerita pasal ikan masak
asam pedas mak fahamlah.” Ketawa mereka bersatu.

“Memandangkan mak memahami ikan masak asam
pedas, apakah gerangannya jika tuan hamba memasaknya
esok untuk hamba, kerna teringin benar rasanya tekak ini.
Oh, sedapnya.” Terbayang ikan pari masak asam pedas.
Perghhh... terangkat kalau mak mentua lalu pun buat tak
nampak.

“Boleh saja tapi dengan satu syarat... tolong urutkan
beta dulu, sakit-sakit badan beta ni. Terasa-rasa aje tangan
ajaib anakanda beta ini urut,” usik Puan Maznah lagi.

“Amboi... beta tuuu mak. Baiklah, patik menurut
perintah tuanku.” Sekali lagi dia gelak besar.

Maknya adalah wanita teratas dalam hidupnya tak
mungkin ada pengganti. Pantas tangannya memainkan
peranan. Puan Maznah tersenyum menikmati urutan
anaknya. Rasa syukurnya melimpah apabila melihat anak-
anak yang semakin berjaya.

PAGI itu seperti biasa Mazliana akan menghabiskan masa
di taman. Sudah menjadi kebiasaannya, dia cukup gemar
berjoging. Oleh kerana hari minggu, kakaknya awal-awal lagi
sudah angkat tangan tak nak ikut. Maknya pula sibuk dengan
kenduri rumah Kak Senah Kepo, nak ajak ayah lagilah jangan
harap.

Tapi macam biasa Mazliana Haji Nordin akan
teruskan moto hidup, bukan beli kari tapi berdiri di atas kaki
sendiri. Matanya memerhati keadaan sekeliling, mana tahu
kut ada mamat-mamat hensem yang sesat nak join dia
berjoging, he he he... ewah so gatal. Sempat discan ke kiri
dan ke kanan. Sejak-sejak tak ada kerja ni dia suka cari kerja
yang tak berapa berfaedah.

Peluh sudah menitis bermakna jogingnya kali ini
berjaya walaupun hanya seorang diri. Larian diteruskan
namun langkahnya terhenti apabila melihat seorang wanita
yang sebaya maknya duduk di bangku rehat. Mukanya
berkerut seperti menahan sakit.

“Mak cik kenapa ni?” tanya Mazliana prihatin.

Wajah wanita itu dipandang, gayanya nampak
seperti baru lepas berjoging. Wah... main teka-teki pula, suka
hati baca riak muka orang. Mazliana sudah duduk di sebelah
wanita itu.

“Entahlah, ni pinggang mak cik ni tiba-tiba sakit.”

“Mak cik datang sorang aje ke ni?”

“Driver mak cik hantar tadi tapi dia balik sebab
anak dia demam panas.”

Mazliana mengangguk perlahan. Fuh... ada driver
tu! Ada driver tu maknanya kayalah. Lagi mau terkejut.

“Emmm... saya hantar mak cik baliklah kalau
macam tu?”

“Eh, tak menyusahkan ke? Tak apalah, mak cik
tunggu. Tadi anak mak cik kata dia akan datang ambil mak
cik.”

“Hesy... panas ni mak cik, nak tunggu apa lagi. Mari
saya hantarkan.”

“Iyalah,” jawab wanita itu bersetuju.

Mazliana tersenyum. Akhirnya dia berjaya memujuk
wanita itu. Baiknya dia hari ni, nasib baiklah mak cik ni
jumpa aku yang baik hati. Mazliana tersenyum memuji diri
sendiri. Mazliana membantu langkah mak cik yang entah
siapa namanya.

Sebaik sahaja mereka keluar dari taman, langkah
diatur sedikit perlahan. Eh! Macam mana nak hantar mak cik
ni? Dia mana ada kereta.

“Mak Cik sebenarnya...” Belum sempat dia ingin
menjelaskan keadaan sebenar, sebuah BMW series warna
hitam muncul betul-betul hampir nak merempuh mereka.
Menjerit tayar kereta ala-ala KL drift.

“Hesy... gila ke bawa kereta macam ni?” marah
Mazliana. Sia-sia kerajaan buang banyak duit semata-mata
nak buat papan tanda kurangkan laju. Tapi langsung tak
diguna pakai.

Seorang pemuda keluar dari kereta itu sambil
menanggalkan cermin mata hitamnya, terus mendapatkan
wanita di sebelahnya. Tangan wanita itu dicium perlahan.
Mazliana memandang lama.

Macam pernahku lihat mamat ni tapi dekat mana
ek? Pelakon ke? Hesy... tak mungkin! Pantas rambutnya
ditarik ke depan menutup separuh wajah.

“Maaf Mak Engku, Zik lambat... kereta pula buat
hal. Tu bawa kereta Is ni.” Nasib baik dia cepat, kalau tidak
mesti kena bambu dengan Tengku Iskandar.

“Tak apa Zikri, lagi pun tak lambat mana pun.” Zikri
tersenyum matanya beralih ke wanita yang berdiri tak jauh
dari mereka.

“Kenapa Mak Engku ni?”

“Pinggang ni sakit sikit.”

Wajah lelaki itu berubah risau, tangannya terus
memegang tangan wanita di sebelahnya mengambil alih
tempatnya tadi. Mungkin anak dia. Tapi wajah lelaki itu
mengundang resah di hatinya. Kantoilah macam mana boleh
jumpa pula mamat ni.

“Eh, doktor buat apa dekat sini?”

La... mamat dekat klinik tu ke. Baru Mazliana dapat
ingat jelas wajah itu. Matilah aku!!! bisiknya perlahan.

“Zikri kenal ke? Nasib baik dia ada tolong Mak
Engku, kalau tidak... tak tahulah macam mana Mak Engku
nak jalan.”

“Emmm... rasanya kenal. Dialah doktor...”

“Eh... dah lewat ni, saya balik dulu. Lagipun ada hal

sikit nak buat.” Potong Mazliana apabila lelaki itu seperti
mahu memperkenalkan dirinya kepada wanita itu.

Mazliana melangkah laju meninggalkan dua insan
yang masih memandang ke arahnya. Jangan pandang
belakang Mazliana, terus jalan kalau nak hidup lama.


Bab 2

MAZLIANA membawa lukisan hasil tangannya ke klinik. Sengaja dia ingin
menghadiahkan satu lukisan untuk kakak kesayangannya.
Bukan apa, sengaja nak ambil hati, maklumlah baru lepas
kena marah. Salah dia juga yang buat lawak yang tak berapa
nak lawak. Kes penyamarannya itu boleh disabitkan sebagai
satu kesalahan jenayah. Itulah yang dibebelkan Kak Lin.

“Hai... apa mimpi bagia karya mahal Maz ni dekat
akak?” Azlin berdiri sambil bersandar di tepi kaunter. Pagi ini
kliniknya masih belum ada pesakit. Tahu sangat taktik
adiknya.

“Ala... sengaja nak menghiasi klinik buruk Kak Lin
ni.” Bulat mata Doktor Azlin mendengar kata-kata adiknya.

Mazliana menyangkut sendiri lukisan pemandangan
senja itu di sudut tepi klinik yang memang kosong. Memang
dah menjadi tugas tak rasminya menjaga keceriaan klinik
milik kakaknya itu. Ewahhh! Hakikatnya itu sebenarnya satu
umpan untuk memancing semula hati kakaknya.

“Buat apa sebenarnya ni?”

“Lukisan sebenarnya boleh dijadikan terapi, tahu
tak? Kalau pesakit-pesakit akak datang tak adalah asyik baca
maklumat tentang diabetes, darah tinggi, jantung segala ni.”
Jarinya menunjuk ke arah paparan yang melekat kemas di
dinding klinik.

“Emmm... yalah tu, ke nak ambik hati akak?”

“Hesy... akak ni tak baik tahu tak buat tuduhan
macam tu, tak baik untuk kesihatan. Ada fakta yang
menyatakan bila dahi kita dikerutkan seperti yang akak buat
tu proses penuaan akan lebih cepat. Itu sebab sekarang ni
kalau akak jalan dengan mak mesti orang ingat mak tu adik
Kak Lin tahu.”

“Amboi... sedap mulut tu mengata ek. Mari sini biar
akak jahit sikit.”

Ketawa Mazliana kedengaran. Kak Ani turut sama
tersenyum mendengar telatah Maz.

“Hah, cantik tak Kak Ani?” tanyanya sambil
memeluk bahu wanita itu.

“Cantik... tak sangka Maz pandai melukis macam

“Dia ni bukan pandai melukis aje Kak Ani, pandai
menari, pandai bercakap dan apa yang penting dia ni pandai
berlakon, sampai jadi pandai menipu,” sindir Azlin. Sengaja
mengusik adik kesayangannya.

“Ala... nak perli orang ar tu tapi disebabkan
kepandaian yang melampau inilah Kak Ani, Doktor Azlin ni
dapat Si Johan tu tau!” Giliran Azlin pula terkena.

Johan atau Doktor Johan adalah salah seorang
pensyarahnya. Johan jatuh cinta pandang pertama apabila

Azlin menghantar tugasan adiknya Mazliana. Tak pasal-pasal
dia yang sangkut.

“Ek, akak tolong Maz tau!” ujar Azlin. Mazliana
mencebik, alasan Azlin tak diterima.

“Emmm... yalah tu. Tolong sambil menyelam
minum air. Orang suruh tolong hantarkan tugasan, dia boleh
pula jual minyak dengan Si Johan tu, Kak Ani.” Kata-kata itu
membuatkan lengannya menjadi mangsa cubitan. Sakit. Kak
Ani ketawa kecil.

“Kan Maz ni Doktor Cinta, mestilah pakar dalam
bab-bab macam ni, kan?” Kak Ani pula menyampuk. Sengaja
mengusik anak manja kesayangan Haji Nordin itu.

“Pandai pun Kak Ani ni. Tak sia-sia Maz turunkan
ilmu. Bagus, bagus.” Pujian Mazliana membuatkan Kak Ani
tersipu-sipu malu.

Azlin mencebik. Sekali lagi lengan adiknya menjadi
mangsa. Hesy, kalau adalah perang yang bersenjatakan
cubitan dah confirm Kak Lin menang.

“Dahlah jom, kata nak keluar makan.”

“Ni yang sayang Kak Lin ni, tahu aje bila perut
orang ni dah berbunyi. Jom Kak Ani. Doktor Azlin nak
belanja!”

“Eh, tak apalah. Kak Ani tunggu klinik. Lagipun
akak dah makan tadi.”

“Okeylah kalau macam tu Kak Ani, jangan sampai
Kak Ani pun menyamar jadi doktor sudah.” Ucapan Azlin
membuatkan Mazliana terkedu. Dia tahu kakaknya sengaja
mengusiknya.

Kak Ani hanya ketawa perlahan. Azlin menjeling.
Memang kalau ikutkan hatinya masih marah dengan

Mazliana tapi selama manalah marah itu akan bertahan.
Sejak kecil kalau mereka bergaduh pun mesti tak sampai
sehari. Mazliana bukan saja adik malah teman dan kawan
baiknya. Mazliana juga kadangkala menjadi kakaknya.

Mereka singgah di Restoran Melayu, makanan di
sini memang pergghh! Sedap gila!!! Tambah-tambah gulai
lemak masam manis, rugilah kalau siapa tak makan. Macam
biasa mereka mengambil tempat yang sedikit jauh dari orang
ramai. Itulah Azlin. Dia sukakan tempat yang privasi. Sedang
asyik Mazliana melayan perasaan dia dapat menangkap
bayangan Johan yang berjalan ke arah mereka.

Muncung ditarik ke depan, selera makan yang tadi
membara padam tiba-tiba.

“Akak ajak dia sekali ke?” Suaranya kedengaran

“Yup... lagipun akak memang dah janji dengan dia
nak makan sekali.”

“Kenapa tak cakap awal-awal? Tak sukalah macam

Ucapan itu membuatkan Azlin tersenyum. Dia tahu
adiknya itu tak pernah selesa dengan Johan. Semuanya
disebabkan perang dingin yang dilancarkan Mazliana kepada
bekas pensyarahnya itu.

“Kenapa pula? Apa yang Maz tak suka sangat
dengan Abang Johan tu?”

“Hello girls.” Johan tersenyum memandang ke arah
tunang dan bakal adik ipar kesayangannya itu. Wajah masam
mencuka Mazliana sudah menjadi hiasan biasa wajah itu.

“Abang tak ada kelas ke?” Suara Azlin kedengaran
memecah kesunyian antara adik dan tunangnya.

“Emmm... tak ada cuma malam nanti pukul lapan.”
Kata-kata itu begitu lembut di gegedang telinganya. Cis,
depan kakak aku pijak semut pun tak mati. Kalau dalam kelas
mahu nak terkeluar anak tekak menjerit. Atuk gajah pun
boleh kena serangan jantung.

“Maz apa khabar?”

“Baik.” Ringkas jawapannya acuh tak acuh.

“Lama tak jumpa Maz, makin tembam abang

Maz mencebik. Makin tembam dia kata aku?
Kurang asam jawa! Kau ingat kau tu hensem sangat??? Kakak
aku aje buta mata, buta hati, buta cinta, bebel Maz dalam
hati.

Mazliana betul-betul tak selesa. Berdepan dengan
bekas pensyarahnya itu ibarat dia menahan kentut. Senak
perutnya. Doktor Johan Datuk Hashim, anak orang kaya yang
banyak mencetuskan kemarahan di hatinya.

“Helo? Ha la ya ke? Okey, okey... aku datang
sekarang.” Tiba-tiba Maz memecah kesunyian. Nokia 3310
nya didekatkan di telinga.

“Aik, tak dengar bunyi telefon pun?” tanya Azlin

“Silent mode. Okeylah, Maz ada hal. Sorry tak dapat
join makan sekali. Kita makan dekat rumahlah ek.” Pantas
Mazliana meninggalkan kedua-dua insan itu. Lagi lama dia
dekat situ lagi panas sistem penjanaan otaknya.

“Sorry abang, tak sangka dia buat lagi,” ucap Azlin
kesal. Johan hanya tersenyum.

“Marah betul dia dengan abang, kan?” Kenyataan
itu membuatkan Azlin turut tersenyum.
“Sebab dia marahkan abanglah kita dapat jumpa
dan sampai sekarang ni bahagia, kan?” Kata-kata Azlin
mencetuskan ketawa kecil Johan. Mazliana bekas pelajarnya
yang banyak menimbulkan kontroversi sehinggakan semua
pensyarah akan bercakap mengenainya.

Masih teringat kepetahan Mazliana mematahkan
hujahnya ketika di dalam kelas. Masih terbayang bagaimana
pelajarnya itu mempengaruhi dekan fakulti seni untuk
menerima projek akhirnya selepas direject oleh Johan.
Mungkin disebabkan banyak salah faham antara mereka yang
membuatkan hubungan mereka jauh begini walaupun
mereka bakal menjadi sebuah keluarga.

MAZLIANA menyumpah-nyumpah dalam hatinya, kenapalah
hatinya panas bila bertentang mata dengan Si Johan tu, kalau
boleh sekarang juga dia memaksa kakaknya memutuskan
pertunangan dengan lelaki itu. Hesy, tak masuk dengan jiwa
rock aku pensyarah macam tu.

Memanglah tak sampai kesalahan dosa besar yang
Si Johan tu buat, tapi dia sendiri tak tahu kenapa akalnya tak
boleh memproses perkataan maaf untuk lelaki itu. Hakikatnya
dia bakal menjadi abang ipar aku.

Tiba-tiba matanya terpandang seorang yang seperti
dikenali. Hah??? Bukan mamat dua orang tu ke? Kenapa pula
ada scene pertembungan macam ni. Alamak! Sembunyi,
sembunyi! Cepat selamatkan diri. Dia hilang di sebalik orang
ramai yang lalu lalang. Cukup yakin mamat yang berdiri di
tepi kereta itu memandang ke arahnya.

“Kau tengok apa tu Is?”

“Entah, aku macam perasan seseorang tadi. Macam
nak berjalan ke sini tapi tiba-tiba hilang,” ujar Tengku
Iskandar.

“Siapa?” Mata Zikri turut mencari gerangan yang
dimaksudkan. Terlalu ramai yang berdiri di tempat yang
dimaksudkan oleh Tengku Iskandar, dia sendiri tak tahu yang
mana satu.

“Dahlah kita dah lambat ni. Jom!” arah Tengku
Iskandar, baginya masa itu lebih bernilai dari emas.

Mazliana menarik nafas lega. Hesy, dahlah hari tu
sikit punya payah nak melarikan diri. Tak sangka pulak mak
cik tu mak pemuda yang ditipunya. Kalau lambat bertindak
mesti mati dia terjerat dengan penipuan tak disengaja itu.
Macam mana kalau mamat tu tahu dia menipu? Matilah kau
Mazliana, terbayang kehidupannya di dalam penjara. Fuh,
malang betul! Takutnya, muka secantik dia terpaksa dikurung
di penjara.

“Wei, apa hal termenung dekat sini?”

Hampir luruh jantungnya disergah begitu. Dia
kembali ke alam nyata. Matanya tepat memandang seorang
wanita yang tak berapa cukup wanitanya. Dengan jeans lusuh
yang koyak bahagia lutut, rambut berwarna-warni. T-shirt
yang dipakai juga berwarna hitam. Lama matanya meneliti
cuba mengenalpasti siapakan gerangan minah rempit di
depannya.

“Wei Maz, kau jangan buat muka tak ada perasaan,
akulah Syamin a.k.a Mimi comel.” Ingatannya kembali
berputur. Mimi comel? Mendengar gelaran itu secara
automatik tekaknya loya.

“La... kau ke Mimi Al-Bosan.” Sebaris gelaran itu
membuatkan mereka berpelukan dan ketawa. Lama juga dia
tak jumpa dengan kawan baiknya itu. Rasanya hari konvokesyen
adalah hari terakhir. Mereka terputus hubungan. Masing-
masing bawa haluan sendiri. Mana mungkin dia lupakan
Syamin teman sebantal dan sepinggannya.

“Kau buat apa dekat sini?” soal Syamin.

“Tak payah buat, dah terserlah pun.” Mereka ketawa.
Trademark mereka sudah keluar.

Mazliana berjalan mengelilingi Syamin. Matanya
meneliti dari atas ke bawah, keningnya terangkat melihat
wajah yang pelik tapi benar. Syamin agak berbeza dari
kebiasaan. Kalau tak silap Syamin sekarang setiausaha tapi...

“Lamanya tak jumpa kau tapi kenapa kau macam...”

“Aku baru balik dari latihan teater la. Ni watak
terbaru aku.”

“Teater? Bestnya! Kau aktif lagi ke?” Satu-satunya
tempat yang membuatkan mereka bertambah serasi. Mereka
berkongsi minat yang sama, masing-masing teruja dalam
bidang teater dan bidang kesenian.

“Eh mestilah. Aku mana boleh berpisah dengan
dunia pementasan.” Syamin tersenyum bangga dengan
kenyataannya.

“Kau macam mana? Apa kau buat sekarang?” tanya
Mimi lagi. Dia lihat Mazliana masih macam dulu.

“Aku macam nilah. Tak buat apa, tanam anggur
dekat depan rumah aku.” Mazliana tersenyum, mungkin
belum ada kerja yang kena dengan jiwanya. Bayangkan
sepuluh kali pergi temu duga. Dia dah cukup serik.

“Hai... best student macam kau tak ada kerja?” perli Syamin

“Amboi perli aku nampak? Kau kerja dekat mana
sekarang?” Giliran Mazliana mengajukan soalan.

“Aku kerja dekat MM Holding, yang penting lari
jauh dari ijazah yang aku ada. Setiausaha tu beb, jangan tak
percaya.” Syamin menjelaskan kedudukannya.

“Baguslah tu dari tak kerja langsung. Jomlah kita
minum-minum, makan-makan. Kau belanja.” Maz memeluk
bahu sahabatnya itu.

“Amboi... aku pulak yang kena.”

“Yalah, aku bukan ada kerja pun.” Mazliana tayang
muka kesiannya.

“Kau ni tak pernah berubah, pandai betul
memanipulasi orang ek. Jomlah.” Mereka berjalan seiringan,
masih banyak yang ingin dibualkan. Tambah-tambah tentang
rahsia-rahsia yang masih menjadi rahsia.

Syamin Farhana Mohd Tahir. Jangan mudah tertipu
dengan wajah naifnya, kawan dan teman merangkap sahabat
Mazliana sejak kecil lagi. Mereka membesar di kampung yang
sama. Terpisah bila Syamin berjaya melanjutkan pelajaran ke
MRSM dan bertemu kembali di universiti. Muka aje selamba
tapi result gempaq. Moto hidup dia, belajar biar lepak result
biar gempaq. Merupakan anak Pak Tahir, jutawan kampung.
Anak orang kaya sebenarnya sebab dekat kampung pun
rumah dia ada orang gaji. Moral of the story, jangan hina
orang kampung sebab orang kampung sekarang suka low
profile.



Bab 3

ENGKU MARIAM tersenyum
melihat gelagat gambar anak-
anaknya ketika kecil. Terasa baru
semalam Zikri masuk ke dalam keluarga mereka. Kini
kedua-dua anaknya itu sudah dewasa. Sejak kecik tak pernah
berenggang, di mana ada Tengku Iskandar di situ juga ada
Zikri Alif.

Peristiwa tiga tahun dulu terkesan hingga kini,
disebabkan perempuan tak guna itu, hati anaknya terluka.
Tengku Iskandar banyak berubah, dia ada mendengar
rungutan pekerja syarikat yang mengadu anaknya terlalu
tegas di pejabat. Kalau dulu wajah itu selalu tersenyum tapi
selepas kegagalan cinta pertamanya sikap Tengku Iskandar
berubah.

Nasib baik ada Zikri, dia tahu Zikri bukan saja anak
yang baik malah menjadi teman terbaik anaknya. Dari kecil
semua isi hatinya akan diluahkan pada Zikri. Malah selalunya
dia akan menggunakan Zikri untuk mengetahui kisah anak
bujangnya itu. Satu lagi peristiwa yang membuatkan dia
sesak nafas sekarang adalah bilalah anak-anaknya itu nak
menamatkan zaman bujang. Bukan seorang dua gadis yang
dikenalkan malah berpuluh tapi semua direject mentah-
mentah.

“Ni dia yang kau nak,” Zikri meletakkan Nasi
Goreng Pattaya Restoran Ambang di atas meja. Tengku
Iskandar tersenyum manja. Zikri mencebik. Dia menarik
kerusi di depan Tengku Iskandar dan duduk bersandar di situ.

“Ni yang aku sayang kau ni. Kaulah saudara aku
dunia akhirat Zik.” Aroma nasi goreng pattaya kegemarannya
itu dicium dengan rasa tak sabar.

Hakikat sebenarnya bukan mamanya tak boleh
masakkan nasi goreng tersebut untuk dia malah lagi sedap,
tapi sengaja dia mendera Zikri. Bukan senang nak buli
sahabat merangkap abangnya tu.

“Banyaklah dunia akhirat. Kau tahu tak jauh gila
restoran tu, banyak kerja terpaksa tangguh.” Suaranya
sengaja dikuatkan biar semua orang dengar. Zikri memang
aset penting MM Holding. Kalau bukan Zikri yang
membantunya mungkin dia tak akan sempat untuk duduk
diam macam sekarang.

“Ala... lagipun aku jadi macam ni pun sebab kau,
kan.” Tengku Iskandar mengangkat kakinya yang pernah
sakit itu.

“Amboi... bukan kaki kau tu dah dua minggu baik?
Sengaja nak mengada-ada, kan?” Senyuman lebar Tengku
Iskandar membuatkan dia mencebik.

Tengku Mariam menuruni tangga sambil
tersenyum. Riuh rendah suara anaknya dan Zikri
membuatkan hatinya tertarik untuk menyertai mereka. Dia
suka bila Tengku Iskandar bersama Zikri, anaknya itu akan
menjadi dirinya sendiri. Bukan lagi Tengku Iskandar pewaris
MM Holding yang sentiasa tegas dan tak mungkin akan
memberi senyuman kepada pekerjanya.

“Apa mama dengar bising-bising ni?”

“Ni Is buli Zik, Mak Engku.” Zikri mengadu sambil
memeluk bahu wanita yang selama ini menjaganya dengan
limpahan kasih sayang. Cuma sejak dia berkerja di MM
Holding dia memilih tinggal di kondo hadiah dari Tengku
Mazlan. Katanya lebih suka hidup berdikari. Seminggu juga
Zikri mendengar bebelan Mak Engku.

“Hah? Iskandar!!!” Bulat matanya mendengar aduan
anak angkat kesayangannya itu. Lengan anaknya dicubit
perlahan. Kasih sayangnya antara Zikri dan Tengku Iskandar
tak pernah berbeza.

“Mama dengarlah cakap budak ni bukan boleh
pakai. Dia buli Is adalah, sampai patah-patah kaki orang tak
fikir?” Suaranya tegas.

“Eh... pembetulan, bukan patah tapi terseliuh.
Amboi... pandai-pandai buat fitnah ek. Lepas tu tokok tambah
cerita.” Zikri masih bermanja dengan Tengku Mariam.

“Sama ajelah, ejaan aje lain.”

“Kalau kaki kau patah mesti sampai sekarang tak
elok lagi tahu.” Masing-masing masih menegakkan hujah.
Macam anjing dengan kucing aje tapi bila tak jumpa kang
sibuk tanya. Tengku Mariam menggeleng perlahan.

“Hah... dah, dah! Jangan nak macam budak kecik,
awak dua orang tu dah besar panjang.”

“Anak manja mama ni la.” Tengku Iskandar
menunjuk ke arah Zikri.

Memang Zikri anak angkat kesayangan mamanya
sampai kadangkala dia sendiri terasa hati tapi masa kecik
dululah, sekarang ni tak mungkin. Zikri sendiri dah macam
saudaranya.

Zikri tersenyum lalu mencapai sebungkus nasi
goreng pattaya di depan Tengku Iskandar pantas tangannya
menyuap nasi ke dalam mulutnya. Bulat mata Tengku
Iskandar melihat gelagat Zikri. Tak sempat dia menyelamatkan
nasinya.

“Wei Zik, tu nasi akulah!” jerit Tengku Iskandar

“Ada aku kisah?” Selamba mulutnya mengunyah
nasi yang sudah penuh di dalam mulut. Langsung tidak
mempedulikan wajah masam Tengku Iskandar.

Tengku Mariam hanya ketawa melihat telatah anak-
anaknya. Hatinya terhibur, memang kehadiran Tengku
Iskandar dan Zikri menceriakan hari-harinya. Dengan adanya
kasih sayang anak dan suami, dia sudah menjadi wanita yang
sempurna. Cuma kadangkala dia rasakan lebih bahagia jika
ada anak perempuan dalam keluarganya.

Zikri Alif bersyukur melihat Tengku Iskandar yang
semakin pulih. Dia sudah cuba sedaya upaya menarik Tengku
Iskandar keluar dari rasa kecewa dan dunia derita akibat
ditinggalkan wanita pujaannya. Tapi dia tahu Tengku Iskandar
bukanlah seorang lelaki yang lemah cuma perubahan sikap
Tengku Iskandar yang membuatkan dia kurang selesa.

Tengku Iskandar Tengku Mazlan yang sekarang
agak berbeza. Tengku Iskandar sekarang lebih suka bergaul
dengan perempuan, lebih senang menghabiskan duitnya
kepada perempuan dan apa yang pasti lebih serius bila di
pejabat. Hilang ramah mesranya dengan kakitangan syarikat.

MAZLIANA duduk di tepi padang futsal. Melihat anak-
anak muda bermain tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Kalaulah Kak Ida ada mesti dia ada kawan melepak. Mazliana
berjalan sendirian entah ke mana dia sendiri tak tahu. Baru
dua hari lepas dia menjual lukisannya, bangga kerana setiap
lukisannya memuaskan hati pembeli.

Macam tu la caranya kalau agak-agak duit dah nak
sempit, dia akan menjual lukisannya. Tapi untuk menjadi
pelukis yang betul-betul menjual hasil tangannya belum lagi
terniat di hati. Bukan malas tapi baginya seninya bukan
untuk duit. Tapi seninya untuk masyarakat Ewahhh!!! Tiba-
tiba pulak teringat akan kata-kata Allahyarham Tan Sri P.
Ramlee itu.

“Hai... boleh berkenalan?” Pantas dia menoleh ke
arah jalan. Kereta kancil hitam itu dipandang lama. Cuba
mengecam pemandunya, yang masih tersengih dan tayang
muka yang tak berapa nak hensem.

“Wei, kau ke mangkuk tingkat???” jerit Mazliana
kepada Bobo atau nama dalam IC, Boharin.

“Aku dah hensem sangat ke sampai kau tak kenal

“Emmm... hensemlah sampai aku punya jantung
terhenti bila nampak kau tadi,” ujar Mazliana sambil ketawa.

Boharin adalah teman sekuliahnya di Art and
Design. Satu-satunya kawan lelaki yang sehingga kini tahan
dengan perangainya selain arwah Najmi.

“Meh ar masuk pekena teh tarik ke roti canai ke,”
ajak Bobo.

“Kau belanja,” ujar Mazliana sepatah.

Bobo tersengih dan mengangguk.

“Kau ni Maz, dari dulu tak pernah berubah,
memang kaki kikis. Aku belanja no, hal punya.”

Mazliana meloncat masuk ke dalam kereta Boharin.
Nasib baik, kalau tak mesti dia terpaksa berebut bas untuk
balik ke rumah. Satu lagi masalah Mazliana Haji Nordin ada
lesen kereta yang disimpan dalam muzium, hanya saat
terpaksa saja akan digunakannya.

Restoran Menanti menjadi pilihan Boharin. Mereka
duduk di tempat yang jauh dari pelanggan yang ada. Mazliana
tersenyum melihat menu utama hari ini, Laksa Johor. Kalau
bab jalan-jalan cari makan serahkan saja pada dia. Tanya
sajalah tempat makan mana yang sedap dekat KL. Mesti
pejam mata dia boleh sampai. Sasarannya sebulan jelajah
lebih enam kedai makan.

“Kau buat apa sekarang? Jangan kata buat bodoh
okey,” tanya Bobo. Siap dengan jawapan yang sudah bermain
di fikiran Mazliana. Macam tahu-tahu aje. Jawapan copy paste
yang nak keluar.

“Ala tak buat apa pun. Aku macam biasalah, bebas.”

Boharin ketawa geli hati. ‘Bebas’ perkataan yang
cukup sinonim bagi temannya itu sejak dulu lagi. Kalau
tidak, takkan Mazliana digelar Burung Merpati di kalangan
kawan-kawan lelakinya. Memang jinak tapi nak tangkap
cukup payah. Contoh yang gagal siapa lagi kalau bukan dia
sendiri.

“Hai... bilalah kau ni nak ditakluk ek... asyik bebas

“Ala, kau macam tak kenal aku, bukan senang tahu
nak jadi Mazliana Haji Nordin ni.” Milo ais di depannya
disedut perlahan. Aik, sedapnya air free. Hi hi hi....

“Kau pula buat apa? Dah kahwin?” Giliran Mazliana
pula mengajukan soalan yang sama. Cuma tambah sedikit
imbuhan perkataan bagi sedap.

“Aku kerja sendiri aje. Adalah masuk sikit-sikit.
Isteri aku baru seorang, anak baru satu.”

“Hahh??? Fuyooo... powerlah kau, kahwin tak ajak
aku pun ek.”

“Macam manalah aku nak ajak kau, lepas kita habis
belajar aje kau hilang macam tu aje. Kalau aku jumpa kau
mesti aku tak jadi kahwin,” katanya selamba. Terkenang saat
cintanya ditolak oleh Mazliana. Tapi kini hatinya hanya milik
isteri tercinta yang bernama Azinani.

Mazliana mengangguk faham. Seolah-olah apa yang
keluar dari mulut Boharin langsung tak ada kaitan
dengannya. Ala, bukan dia tak tahu kisah cinta Si Bobo ni,
heboh satu kampus. Dia sentiasa mendoakan Bobo dan Nani
akan bahagia hingga ke akhir hayat.

“Mesti... kau dah kahwin, kan?” duga Boharin lagi.
Sengaja mengusik walaupun dia sendiri dah tahu
jawapannya.

“Kahwin?” Mazliana ketawa lagi Bobo di depannya
dipandang

“Aku ni siapalah yang nak, ganas, brutal semacam.
Lelaki pun takut, tahu tak?” sambungnya lagi.

“Emmm... kau tu memilih sangat, aku yang hensem
ni pun kau reject ni mesti nak cari anak raja tak pun kau nak
tangkap Tan Sri ke Dato’ ek?” Tekaan melulu Bobo. Memang
sangat tidak sayangkan mulut. Nasib baik tak jadi kisah
kasutku di bibirmu. Tapi apa yang diucapkan Bobo langsung
tak berbekas di hatinya.

“Hesy... kau ni, antara kita dah memang tak tertulis
dalam buku jodoh pertemuan akan bersama. Tapi apa yang
penting kau kahwin dulu sebelum aku.” Mazliana menutup
cerita. Malas dia mengenang peristiwa lama.

Teh O ais gelas besar dihirup perlahan, sesekali dia
memandang ke arah Mazliana yang masih sama cuma rambut
Mazliana kini panjang hingga ke bahu dan diikat satu seperti
ekor kuda. Dulu wajah itu lebih comel berambut pendek dan
sekarang menjadi cantik bila berambut panjang.

“Sekarang kau masih melukis ke?” Sesi soal jawab
masih belum berakhir.

“Lukisan dengan aku mana boleh dipisahkan. Kalau
aku ni tak boleh melukis aku rasa boleh mati. Tahu tak?”
Boharin tersenyum. Dia tahu itulah yang membuatkan
hubungan mereka menjadi rapat. Minat mereka sama.

“Mesti banyak masuk kau ni. Relaks aje aku
tengok,” tanya Bobo. Bukan dia tak tahu nilai hasil tangan
Mazliana sudah menjadi tumpuan sejak mereka di universiti
lagi.

“Emmm... adalah sikit-sikit. Sekarang ni orang kita
dah mula hargai seni.”

“Betul... aku setuju.”

“Alamak, aku dah lambat ni! Aku dah janji dengan
mak aku nak temankan dia shopping. Aduh... ni mesti balik
ni aku kena basuh.”

“Jomlah, aku hantarkan kau.” Pelawa Bobo ikhlas.

“Ni yang aku sayangkan kau ni, macam tahu-tahu
aku nak suruh kau hantarkan.” Ketawa Mazliana membuatkan
Boharin tersenyum. Memang Mazliana tidak pernah berubah.

PERLAHAN-LAHAN dia masuk ke dalam ruang tamu
rumah, matanya melilau mencari bayang Puan Maznah. Dia
melepaskan nafasnya perlahan. Macam manalah dia boleh
lupa janjinya. Dia menyesal kerana terlalu sibuk dengan
urusan sendiri. Maklumlah hari ni agak sibuk sukat jalan.

“Kalau orang yang mungkir janji adalah orang yang
munafik.” Suara lembut dari belakang kedengaran dekat di
telinga, Mazliana pejam mata. Aduh... menusuk ke jantung.
Pantas tubuh Puan Maznah dipeluk erat.

“Sorry mak, Maz betul-betul terlupa.”

“Tu la anak, sampai lupakan mak yang melahirkan.”
Hah, mak dah start drama.

“Okey, macam ni la. Malam ni Maz belanja makan
dekat luar, okey?” Mazliana cuba memujuk hati ibu
kesayangannya. Dalam masa yang sama dia sedar Haji Nordin
yang muncul tiba-tiba dari dapur.

“Hah? Betul ni Mazliana Haji Nordin nak belanja
makan? Macam pelik bunyinya.” Haji Nordin menyampuk
dari belakang. Kelihatan dahi ayahnya berkerut. Soalan yang
diajukan agak menyindir.

“Betullah... malam ni kita makan dekat luar, tempat
terserah kepada panel hakim yang arif lagi bijaksana.”

“Okey kita ke Restoran Seri Melayu malam ni,”
putus Puan Maznah. Keputusan nampaknya muktamad. Tiada
talian hayat. Atau talian berbayar atau talian menggunakan
prepaid. Mazliana menggaru kepalanya. Menyikat kembali
rambut kusutnya dengan jari.

“Hah??? Seri Melayu? Mahal tu....” Berkira-kira
dalam kepalanya bajet yang akan dikeluarkan. Ada duit ke ni?

“Aik? Merungut nampak?” Pantas Haji Nordinbersuara, sengaja ditahan tawanya apabila melihat wajah
kerut anak kesayangannya itu.

Mazliana anak yang paling pandai berjimat, juga
paling pandai mengambil kesempatan, nasib baik semua yang
ada dalam hati anaknya itu dah cukup masak baginya. Sekilas
perubahan wajah anak bongsunya itu dia dulu dapat
merasakan. Walaupun dilihat anak gadisnya itu banyak
kekurangan tapi Mazliana ada satu kelebihan iaitu suka
menolong orang. Itu adalah sikap yang memang semula jadi
ada sejak anaknya kecil lagi. Walaupun kadangkala membantu
pada jalan yang salah.

“Emmm... okey beres, yang penting permaisuri hati
ayah ni akan terpujuk hatinya. Patik rela melakukan apa
sahaja, sekalipun patik terpaksa mengorbankan nyawa patik.
Segalanya untukmu.” Mazliana mencium tangan maknya.
Tubuh wanita itu dipeluk lagi.

“Apa merepek ni???” Perlahan pipi anaknya
ditampar. Tak suka dia mendengar ayat yang keluar dari
mulut Mazliana. Akhirnya dia tersenyum. Terpujuk dengan
sikap manja anaknya itu.



p/s smbungan novel Dokter Cinta entry akan datang...

zZZZzzz..........layan........wasalamm

2 comments:

PKMB KANGAR said...

kalau setakat copy paste x payah la...

Mohd Ridhuan said...

novel ni copy ke ?? Bek beli ... Buat lenguh tangan aku je tekan butang mouse !!!