Bayi dilarikan rakan serumah


MOHAMMAD Fahrin Danial dipercayai dilarikan pasangan suami isteri  

di Taman Prai Jaya, Butterworth, awal bulan ini.
MOHAMMAD Fahrin Danial dipercayai dilarikan pasangan suami isteri di Taman Prai Jaya, Butterworth, awal bulan ini.
Ibu tinggalkan mangsa kepada suspek untuk dijaga sementara

BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dipercayai dilarikan sepasang suami isteri selepas ibunya meninggalkannya bersama mereka untuk dijaga sementara di Taman Prai Jaya di sini, awal bulan ini.

Sehingga kini Mohammad Fahrin Danial Abdullah, gagal dikesan oleh ibunya yang mahu dikenali sebagai Esah, 26. 

Wanita itu mendakwa meninggalkan anaknya kepada pasangan berkenaan berusia 25 dan 26 tahun yang juga rakan serumahnya untuk dijaga kerana dia perlu pergi ke Seremban bagi menguruskan hal peribadi, pada 28 Mei lalu. 

Pasangan berkenaan yang tidak mempunyai anak juga dikatakan menawarkan diri untuk menjaga bayinya kerana terlalu sayangkan budak itu.

Pada 6 Jun lalu, Esah menghubungi pasangan itu untuk bertanya khabar mengenai anaknya dan memaklumkan dia akan pulang pada 11 Jun.

“Apabila saya sampai ke rumah kira-kira jam 5.30 petang pada 11 Jun, rumah berkunci dan tuan rumah menyatakan rakan saya sudah keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa.

“Saya mendapati barangan milik mereka tiada di rumah itu dan dokumen pengenalan diri anak saya juga hilang. Saya mengesyaki mereka melarikan anak saya kerana ada jiran memberitahu dia menghantar pasangan itu ke stesen bas untuk pulang ke kampung mereka di Kelantan pada 8 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Esah mendakwa dia cuba mencari pasangan itu di Grik, Perak, kerana seorang daripada pasangan itu berasal dari sana tetapi gagal menemui mereka.

Selepas menemui jalan buntu, Esah membuat laporan di Balai Polis Bandar Perda, Bukit Mertajam pada 16 Jun, selain menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan anaknya.

“Dua bomoh yang saya temui menyatakan anak saya dan pasangan itu berada di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Saya meminta bantuan rakan mencari mereka tetapi gagal.

“Saya tidak tahu hendak buat apa lagi... saya terlalu rindukan anak saya dan hanya dapat bersamanya selama dua bulan saja,” katanya.

1 comment:

GaRy™ said...

peserta segmen gary?.. tengok sini..

http://i1196.photobucket.com/albums/aa419/bleeddrummerz/CU1.png

klik gambar kalau x nampak ok?...