MENCARI kata cinta dalam Nur Kasih The Movie (NKTM) umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung pula tidak berselerak. Selama sejam 35 minit durasi filem itu berputar di layar putih yang ditemui hanyalah Nur Amina. Di manakah Nur Kasih atau siapa pula Nur Kasih?
Pengertian Nur Kasih itu cuma boleh ditafsir di pengakhir cerita betapa kasih itu tercerna dalam diri Nur Amina Abu Bakar (Tiz Zaqyah), Aidil Hassan (Fizz Fairuz) dan Adam Hassan (Remy Isyak). Menterjemahkan cinta dalam filem mahupun drama medan menguji kreativiti pengarah, lalu tidak menghairankan ada yang mengolah secara retorik tidak kurang sarat dengan falsafah terutama dalam kalangan pengarah yang memahami bahasa filem.
Cinta dalam NKTM bagaikan cahaya, ia dicerna melalui gerak rasa bukan dipaksa bagi menyuluh tiga hati menjadi kasih sejati. Justeru jika diperhati agak berat lidah Aidil, Nur Amina mahupun Adam untuk melafazkan kata-kata cinta sekalipun jarak cinta di antara mereka cuma di depan mata.
Filem ini mengandungi metafora tersendiri. Langit lazimnya dikait dengan ketuhanan, air (kesucian), bintang (kerohanian) api (kemarahan) dan sesuatu yang bulat seperti bulan adalah lambang kesuraman. Dalam NKTM sebaik terpampang kredit Nur Kasih dipotretkan gerhana matahari, awalan cerita seolah-olah Kabir Bhatia selaku sutradara sudah menjelaskan betapa filemnya itu sarat dengan kehibaan, namun terselit keceriaan di penghujung.
Filem ini mengandungi metafora tersendiri. Langit lazimnya dikait dengan ketuhanan, air (kesucian), bintang (kerohanian) api (kemarahan) dan sesuatu yang bulat seperti bulan adalah lambang kesuraman. Dalam NKTM sebaik terpampang kredit Nur Kasih dipotretkan gerhana matahari, awalan cerita seolah-olah Kabir Bhatia selaku sutradara sudah menjelaskan betapa filemnya itu sarat dengan kehibaan, namun terselit keceriaan di penghujung.
Hiba nampaknya lebih dipusatkan kepada Nur Amina. Cinta yang tidak menjadi di antaranya dengan Aidil. Pahit getir kehidupan bersama Adam yang pada waktu sama resah hati dipendamkan pada detik waktu dan suratan untuk kasihnya pada Aidil bertaut walau hadir di penghujung usia.
Sebagaimana kita maklum, NKTM adalah lanjutan drama televisyen Nur Kasih yang ditayangkan setiap Jumaat di TV3 dari 2 Mei hingga 27 November 2009. Drama yang turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Othman dan Sharifah Sofia ini mencetuskan fenomena tersendiri hingga mencatat jumlah penonton 19 juta orang. Ia mengisahkan dua beradik, Aidil dan Adam anak Ustaz Hassan dan Hajah Khadijah yang mempunyai perwatakan berbeza.
Ustaz Hassan pula bersahabat baik dengan imam kampung, Ustaz Abu Bakar yang mempunyai dua anak perempuan Nur Amina dan Siti Sarah. Apabila Ustaz Hassan bertanya pada Aidil siapakah wanita pilihannya untuk dijadikan isteri, dia menjawab Nur Amina, tetapi keputusan diambil Ustaz Hassan ketika hari peminangan agak mengejutkan keluarganya kerana dia memutuskan Adam untuk memperisterikan Nur Amina bukan Aidil.
Sebagai orang berilmu, keputusan Ustaz Hassan itu barangkali mahu diterjemahkan oleh Mira Mustaffa selaku penulis bukan disengajakan sebaliknya ujian untuk kedua-dua anak lelakinya itu mengerti keikhlasan berkasih. Ini diperlihatkan kepada Aidil walaupun kecewa, dia sangat mengambil berat terhadap adiknya itu. Pernikahan Nur Amina dan Adam boleh dimengertikan untuk menyelamatkan Adam daripada kehidupannya menyimpang jauh.
Walaupun kecewa, Aidil tetap bersabar dan memahami niat baik ayahnya yang cuba untuk menolong Adam. Penamaan watak yang serasi tanpa disedari meniup roh untuk sesuatu filem. Dalam Nur Kasih, nama Aidil membawa pengertian amanah, ikhlas, dinamik, idealistik dan lembah lembut.
Adam pula amanah, dinamik, alim dan mesra sementara Nur Amina adalah cahaya yang boleh dipercayai. Jelas sekali di sini Mira membuai-buai emosi penonton dengan nama yang serasi sebagaimana amanahnya Aidil terhadap Ustaz Hassan dan Adam bertukar warak pada penghujung usia.
Eksperimen ini boleh diamati melalui filem Iran, Kandahar arahan Mohsen Makmalbaf. Watak utamanya Nafas (lakonan Nelofer Pazira), wartawan Afghanistan menetap di Kanada kembali ke tanah tumpah darahnya semata-mata mahu memberi nafas baru kepada adiknya sebelum mati.
NKTM adalah filem ketiga Kabir di bawah penerbitan Grand Brilliance. Filem ini memasuki pawagam pada 19 Mei lalu dan masih rancak ditayangkan.
Bezanya drama Nur Kasih dan NKTM, semua watak berkembang dalam tempoh enam tahun dengan masing-masing membawa duka lara tersendiri.
Menyorot filem garapan Kabir sebelum ini, sukar menidakkan dia gemar merangkum banyak cerita dalam satu masa seperti Cinta. Menariknya semua cerita itu bertemu pada pengakhiran. Plotnya mudah iaitu jalan menikmati kebahagiaan semestinya ada rintangan, sebagaimana Sepi watak Sufi (Tony Eusoff), Adam (Afdlin Shauki) dan Imaan (Baizura Kahar) yang meraba-raba mencari cinta, sebaliknya sepi mengajar mereka erti cinta yang sebenar.
Penekanan tiga watak dalam Sepi nampaknya dilanjutkan Kabir dalam NKTM. Apabila fokus berlebihan diberi pada watak Aidil, Adam dan Nur Amina, beberapa watak lain seperti watak Hajah Khadijah tidak berjalan secara sempurna. Lakonan Liza Othman sebagai Hajah Khadijah tidak dieksploit Kabir sebaik mungkin, sedangkan kita maklum Liza bukan saja dramatis terkenal malah aktivis teater tersohor tanah air.
Kehadiran watak Maryam (Mia Sara) berusia lima tahun serba sedikit menceriakan suasana seketika, tetapi watak itu pun lebih kurang senasib dengan Hajah Khadijah. Jika watak Maryam dikembangkan lagi, ia menambahkan suasana ceria walau hiba dengan statusnya sebagai anak yatim.
Menghadirkan ramai ‘cameo’ pada pengakhir NKTM mengganggu serba sedikit tumpuan bagi meneka satu persatu. Adegan saspens di tanah perkuburan berjaya mengundang resah dan sebak penonton hingga tertanya-tanya siapakah yang mati adakah Aidil, Adam atau Nur Amina ?
Sekalipun bukan ketiga-tiga watak itu mati ketika adegan itu, namun entah mengapa watak Adam dimatikan begitu. Untuk NKTM, dengan kematian Adam bermakna pengakhiran cerita itu sudah tiba. Bagaimanapun, sebagai pengkarya kreatif, melalui ilham ia boleh mengeksploit apa saja yang ada.
Nur Kasih menjadi fenomena kerana ia mencelah pada ketika penonton tempatan dahagakan drama atau filem bercorak Islamik dengan watak utamanya bertudung.
Negara jiran nampaknya mendahului kita dengan filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Filem genre begini jika diaplikasi secara berseni dengan niat berdakwah boleh menciptakan ikon baru pada gadis remaja dan ini dapat diperlihatkan melalui watak Nur Amina.
Peribadi mulia Nur Amina sebagai gadis dan isteri adalah cerminan wanita Muslimah dambaan lelaki. Nur Amina dalam NKTM jelas sekali mengekspresi emosi melalui variasi warna tertera pada tudungnya. Apabila resah mencari suaminya yang hilang di Jordan, dia mengenakan warna hitam, tika keguguran dan bercuti sambil menunaikan umrah dia mengenakan warna putih bagai petanda kelahiran baru yang dinantikan.
Natijahnya NKTM nukilan Mira ini seperti mahu menjelaskan kepada kita pengertian kasih dan cinta cukup berbeza. Dalam perhubungan, cinta saja tidak memadai tanpa kasih.
Cinta pada dasarnya boleh dimain kata-kata, sebaliknya kasih lebih suci dalam relung hati yang dapat menghadirkan cahaya untuk mengikhlaskan kasih bagi dua jiwa yang mendambakan cinta bertemu di ambang syurga.
ZzzZzzzz,,,,layan jeww,,wssalammm
No comments:
Post a Comment