SENGIT...antara babak pertarungan dalam KL Gangster yang akan menemui penonton esok.
BERBANDING genre aksi lain, KL Gangster terbitan Skop Productions pula mempertaruhkan tiga pelakon lelaki sebagai teraju utamanya sekali gus memantapkan lagi filem yang bakal menjengah pawagam tanah air bermula esok.
Filem yang mengupas kegiatan kongsi gelap ini dibintangi tiga pelakon hebat di persada seni tanah air iaitu Syamsul Yusof, Aaron Aziz dan Adi Putra.
syamsul |
adi putra |
Dalam filem ini, Syamsul membawa watak antagonis iaitu gangster jalanan Shark, Aaron watak gangster yang sudah insaf, Malik dan baru keluar penjara serta Adi yang bawa watak gangster, Jai yang juga adik kepada Malik.
Pada sesi fotografi yang diatur Rap bersama tiga pelakon ini di Studio Balai Berita, baru-baru ini masing-masing mengakui mempunyai keserasian ketika digandingkan dalam filem berkenaan.
Pada sesi fotografi yang diatur Rap bersama tiga pelakon ini di Studio Balai Berita, baru-baru ini masing-masing mengakui mempunyai keserasian ketika digandingkan dalam filem berkenaan.
Secara peribadi, Syamsul yang juga pengarah filem ini mengakui Aaron dan Adi adalah dua pelakon yang tepat untuk bergandingan dengan�nya dalam filem itu.
“Saya sendiri yang memilih Aaron dan Adi bergandingan sebagai teraju utama filem ini. Mereka juga mempunyai peminat tersendiri di persada seni tempatan.
“Saya sudah bekerja banyak kali dengan Aaron dan kami memang serasi bekerjasama dalam filem. Ini juga kali pertama, saya bekerja dengan Adi dalam filem,” katanya.
Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-24 ini berkata, dia memang suka dengan Adi kerana dia memang ada ‘sesuatu’.
“Adi mempunyai ‘eye contact’ dan fizikal yang bagus untuk bawa watak gangster. Sepanjang penggambaran, Adi juga berjaya menjiwai watak Jai dengan baik seperti dikehendaki dalam filem ini. Dia memang sesuai untuk membawa watak Jai yang juga adik kepada Malik dalam filem ini.
“Sudah menjadi cara saya mengarah iaitu memberi kebebasan kepada pelakon untuk tidak terikat dengan dialog seperti dalam skrip filem ini. Saya juga suka berbincang dengan pelakon dan berkongsi idea dengan mereka untuk mendapat hasil terbaik dalam filem ini. Setiap pelakon juga perlu fokus dengan karakter masing-masing,” katanya.
Apapun, pada peringkat awal, kata Syamsul, dia sendiri kurang yakin untuk bawa watak Shark yang juga gangster dalam filem itu.
“Maklumlah, ini kali pertama saya bawa watak jahat dalam filem. Justeru, saya minta penolong pengarah sendiri yang buat uji bakat untuk saya melakonkan watak Shark dan ternyata, mereka berasa puas hati dengan lakonan saya ketika itu.
“Bagi menjiwai watak diserahkan, Syamsul juga menonton filem Hollywood kegemarannya iaitu God Father dan Scarface sebagai rujukan untuk menjiwai watak berkenaan dan melihat daripada aspek lakonannya,” katanya.
Pada masa sama, kata Syamsul, dia juga buat kajian mendalam mengenai kegiatan kongsi gelap di luar sana untuk mendapat gambaran yang sebenar.
“Ini memang filem impian saya, sejak dulu. Ia seratus peratus cerita mengenai
kongsi gelap dan hasil gabu�ngan idea saya dengan penolong pengarah, Rizal Ashraf. Cerita ini juga memang ada sedikit persamaan dengan dunia gangster yang sebenar di luar sana.
“Sebagai kelainan, saya paparkan Malik, ahli kongsi gelap yang sudah insaf dan ingin berubah ke arah kebaikan seratus peratus,” katanya.
Demi menjiwai watak Shark, Syamsul sanggup membotakkan kepala dan menaikkan berat badannya mencecah lebih 70 kilogram.
“Saya juga berdepan dengan tekanan untuk menjiwai watak Shark yang penuh dengan dendam dan kemarahan. Sebenarnya, Shark adalah anak kepada ketua gangster (lakonan Ridzuan Hashim).
“Cabaran besar dihadapi kerana filem ini membabitkan sebahagian besarnya babak pergaduhan yang sengit. Saya juga mengalami lebam-lebam ditubuh sepanjang penggambaran. Kami juga buat babak pergaduhan sendiri dengan bantuan koreografer lagak ngeri tempatan yang kehebatan�nya setanding di Hong Kong,” katanya.
Bagi Aaron pula, dia juga mengakui selesa bekerja dengan Syamsul dalam filem KL Gangster itu.
Maklumlah, mereka pernah bekerjasama dalam tiga filem pengarah muda itu sebelum ini iaitu Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 1 dan Evolusi KL Drift 2.
“Kali ini, watak saya ada kelainan kerana ia watak baik. Malik adalah bekas gangster yang sudah insaf dan keluar dari penjara. Saya dan Syamsul berbincang mengenai watak terlebih dulu sebelum penggambaran dimulakan. Seperti filem sebelum ini, saya juga buat dialog sendiri untuk menjiwai watak Malik.
“Cabaran paling besar ialah untuk menjayakan babak pergaduhan dalam filem ini kerana ia membabitkan penggambaran selama 20 hari dan hanya tiga hari tidak ada babak pergaduhan. Saya juga cedera di bahagian lutut ketika menjayakan babak pergaduhan itu,” katanya.
Aaron mengakui semua pelakon utama tiada asas dalam seni mempertahankan diri tapi ia bukan penghalang buat mereka beri yang terbaik dalam filem itu.
“Dengan bantuan koreografer lagak ngeri, kami berjaya melakonkan babak masing-masing sebaik mungkin. Maklumlah, pengalaman saya hanya pernah bergaduh dengan orang ketika zaman bujang dulu,” katanya.
Manakala, Adi pula mengakui sangat teruja bergandingan dengan Syamsul dan Aaron dalam filem berkenaan.
“Saya memang sudah lama ingin bekerja dengan Syamsul yang juga pengarah generasi muda hari ini. Watak Jai adalah gangster yang ‘berhati kering’ dan adik kepada Malik memang tidak kurang hebatnya.
“Saya berusaha menampil�kan kelainan daripada aspek lakonan kerana tidak mahu
ada persamaan dari yang pernah dilakonkan sebelum ini,” katanya.
Adi turut berdepan cabaran besar menjiwai watak gangster kerana ia memerlukan stamina yang tinggi.
“Syamsul pula pengarah yang boleh terima pandangan pelakon dan ia memudahkan kami bekerjasama dalam filem ini. Sepanjang penggambaran, saya turut mengalami kecederaan iaitu bahu kena paku dan lutut terkehel ketika menjayakan babak pergaduhan dalam filem ini,” katanya.
Filem ini turut dibintangi Sheera Iskandar (Zati), Ridzuan Hashim (King), Shoffi Jikan (Ajib), Zizan Raja Lawak (Fadil), Adam Corrie (Dragon) dan Ku Faridah (Ibu).
PROFIL
NAMA PENUH: Mohd Syamsul Datuk Yusof Haslam
PANGGILAN: Syamsul
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
USIA: 27 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Pelakon, Pengarah & penyanyi
PENCAPAIAN: Pengarah Filem Terbaik, Penyunting Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 & Lakon Layar Filem Terbaik, Anugerah Skrin 2010.
FILEM: Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift, Gila-Gila Pengantin Popular
FILEM ARAHAN: KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift
PROFIL
NAMA PENUH: Mohamed Hadi Putera Halim
PANGGILAN: Adi Putra
TARIKH LAHIR: 26 Februari 1981
USIA: 30 tahun
TEMPAT LAHIR: Singapura
KELULUSAN: Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura
KERJAYA: Pelakon, penyanyi
ANTARA DRAMA: Haryati 2, Aku Cinta Padamu, Kelahiran Teristimewa, Akukah Tanggang, Mat Jenin, Mya Zara, Kehangatan Lantana, Kala Hati, Na O Mei, Air Mata Salina, Emily, Cinta, Dakapan Senja, Samson Delaila dan Kasih Relaku Pujuk
ANTARA FILEM: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Hanyut, KL Gangster dan Haq
TEATER: Rubiah, Sri Mersing
ALBUM: Kelahiran (2008)
PROFIL
NAMA PENUH: Aaron Mustapha Aziz
PANGGILAN: Aaron
TARIKH LAHIR: 23 Februari 1976
USIA: 35 tahun
ASAL: Pasir Ris, Singapura
STATUS: Berkahwin
KERJAYA: Model & pelakon
ANTARA DRAMA: Sumaiyah, Emil Emelda, Janji Diana, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, Rahsia Cinta dan Bulan Bertemu Matahari, Dilemma Wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi, Oh Ibu dan Nora Elena
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Shh. Dia Datang, Bohsia...
Jangan Pilih Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah, Dua Alam, Cempaka, Ombak Rindu
PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura (2003, 2004, 2005)
DUTA: L’Oreal
ZzzZzzzz,,,,layan jeww,,wssalammm
No comments:
Post a Comment