Dramatik

Assalamulaikum u all

PASUKAN Terengganu gembira selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada masa tambahan  dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Osman Adnan
PASUKAN Terengganu gembira selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada masa tambahan dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Osman Adnan
Ahmad Nordin muncul wira atasi Kelantan di final Piala FA 2011

TERENGGANU mengakhiri penantian 11 tahun apabila bergelar juara Piala FA 2011 selepas menewaskan Kelantan 2-1 dalam permainan 120 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. 
 
Bergelar juara kali pertama pada 2000 dan gagal mengulanginya pada 2004 selepas tewas kepada Perak, Ahmad Nordin Alias bergelar wira apabila tolakannya ketika permainan masa tambahan berbaki 10 minit memastikan trofi berprestij itu mutlak milik Terengganu.
Suasana final luar biasa dapat disaksikan beberapa jam sebelum bermula dan sebaik wisel ditiup, rentak pantas dipamerkan kedua-dua pasukan dengan Kelantan bimbingan Datuk M Karathu lebih banyak mendominasi babak awal dan beberapa kali melepasi benteng Terengganu tetapi tiada penyudah berkesan termasuk peluang baik Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-42 yang ditepis Sharbinee Allawee Ramli.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mencari peluang menerusi serangan balas kilat dan Abdul Hadi Yahya hampir memecah kebuntuan pada minit ke-22 tetapi rembatan penyudahnya dibaca penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Memasuki babak kedua, permainan rancak kedua-dua pasukan terganggu hampir lima minit apabila api suar dibaling berhampiran gawang Terengganu ketika Kelantan melakukan asakan tetapi sebaik permainan disambung, Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penyelamat apabila menepis cubaan leret Joseph Kallang Tie pada minit ke-56.

Cubaan berterusan Kelantan berhasil ketika permainan berbaki 10 minit apabila gerakan solo dan sepakan lambung mengelirukan Nurul Azwan Roya memperdaya Sharbinee tetapi usaha berterusan Terengganu memaksa permainan ke masa tambahan apabila Daudsu Jamaluddin tertanduk ke gawang sendiri di hujung masa tambahan.
Ketika kedua-dua belah pasukan mula menunjukkan tanda-tanda keletihan, Ahmad Nordin yang berada pada posisi tepat ketika sepakan sudut, mematahkan semangat juang The Red Wrriors dan puluhan ribu penyokongnya dengan rembatan jarak dekat untuk memastikan trofi berprestij diarak pulang ke Kuala Terengganu.

Kelantan pula terus kempunan untuk menamatkan penantian 22 tahun dengan peluang dua tahun lalu dikecewakan juara lima kali, Selangor menerusi penentuan penalti selepas permainan masa sebenar terikat 1-1. 
 
credit by Berita Harian

1 comment: