Suami beli susu anak maut dirempuh treler

DUNGUN: “Susu anak yang ditunggu rupanya jenazah saya terima,” kata Fazilah Saaman, 19, selepas suaminya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 108, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran kuari Pondok Limau, di sini, kelmarin.
Menurutnya, suaminya, Abdullah, 40, seorang warga Indonesia terbunuh apabila motosikal ditungganginya gagal mengelak sebelum dirempuh sebuah treler, kira-kira jam 6 petang.

Mangsa yang bekerja di ladang sawit Felda Kerteh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pergam, Hulu Jabur, Kemaman untuk membawa susu dipesan isterinya.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke Bukit Diman selepas menghantar kelapa sawit di Ladang Cherul cuba memotong sebuah kenderaan lain dan gagal mengelak motosikal mangsa dari arah bertentangan sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Pertembungan itu menyebabkan treler berkenaan berpusing dan merentangi jalan sebelum sebuah lori lain dipandu V Gunalan, 26, dari arah bertentangan merempuh bahagian tengah treler.

Bagaimanapun, Gunalan dari Puchong, Selangor hanya cedera ringan di muka manakala pemandu treler, Sukarno Abd Rahman, 38, dari Kampung Bukit Diman, tidak cedera.
Fazilah dari Sungai Pergam, Kemaman berkahwin dengan suaminya berasal dari Lombok Tengah, sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan seorang anak berusia 20 bulan.

Katanya, suaminya bekerja di Felda Kerteh sejak dua tahun lalu dan pulang ke rumah seminggu lalu memandangkan jarak rumah ke tempat kerja agak jauh.
“Saya menghubunginya sejam sebelum kejadian memaklumkan susu anak kehabisan dan dia berjanji pulang segera bersama susu dipesan,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 6.30 petang, dia mulai risau apabila suaminya masih belum pulang.

Katanya, hatinya semakin berdebar apabila gagal menghubungi telefon bimbit suaminya dan setengah jam selepas itu, dia terkejut apabila menerima panggilan seorang anggota polis menggunakan telefon bimbit suaminya memaklumkan arwah terbabit kemalangan dan meminta segera ke Hospital Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

2 comments: